SALLEH menunjukkan kesan peluru yang menembusi lengan kirinya.


KUALA PILAH: Kesan kecederaan di tangan kiri dan paha kanan akibat terkena tembakan ketika menentang komunis masih jelas kelihatan.

Malah, peristiwa hitam itu yang sudah tujuh dekad berlalu masih segar dalam ingatan bekas tentera Salleh Nahu, 90, tambahan pula kini hanya beliau yang masih hidup dan dapat berkongsi kisah itu.

Menurut Salleh, beliau antara 25 anggota dari Platun 12 Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang bertempur dengan komunis di Kampung Pulai, Gua Musang, Kelantan pada 1949.

Mengimbau kembali kejadian yang berlaku pada 25 Mac 1949, Salleh berkata, kumpulannya yang diketuai Allahyarham Leftenan Muda Hassan Yassin melakukan rondaan di Sungai Nenggiri dan dalam perjalanan pulang ke Kampung Pulai.

“Ketika menyusuri sungai dan melalui kawasan berbukit, kami diserang hendap oleh komunis. Kami seolah-oleh dikepung dan dihujani peluru.

“Kami segera berlindung dan membalas tembakan untuk menyelamatkan diri. Dianggarkan 40 pengganas komunis menyerang kami ketika itu menyebabkan Leftenan Muda Hassan dan 16 anggota terkorban.


SALLEH menunjukkan anugerah yang diterima.

“Koperal Jamaluddin Muhamad mengambil alih tugas mengetuai platun dan mengarahkan kami terus berjuang walaupun cedera. Ketika itu nyawa menjadi taruhan demi tugas mempertahankan negara,” katanya.

Menurut Salleh, amaran komunis yang mengarahkan Askar Melayu menyerah kalah masih diingati sehingga kini dan menjadi pembakar semangatnya untuk terus berjuang habis-habisan.

Dalam pertempuran itu, katanya, 17 anggota terkorban manakala lapan anggota termasuk beliau cedera selain 29 pengganas komunis turut terbunuh.

Beliau berkata, semua rakannya yang gugur dibawa pulang dan disemadikan di Tanah Perkuburan RAMD, Port Dickson.

Pada 1952, beliau bertukar kor secara sukarela dari RAMD ke Rejimen Semboyan yang berpangkalan di Mersing, Johor.

Salleh yang mempunyai empat anak, 16 cucu, 20 cicit dan seorang piut bersara pada 23 Ogos 1969.


SALLEH bersama sebahagian cucu dan cicitnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sawah Lebar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 5:50 AM