MOHAMAD menjawab soalan media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan berkenaan punca kematian Nora Anne, semalam.
Raja Noraina Raja Rahim dan Hasbi Sidek


SEREMBAN: Berjalan seorang diri tanpa pakaian dan kasut di dalam hutan tebal, tidak makan dan tidur hanya beralaskan rumput serta batu di kawasan sungai.

Itu penderitaan dialami remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, sehingga akhir hayatnya sebelum ditemui di kawasan hutan kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapan keluarganya di Pantai, dekat sini, Selasa lalu.

Menurut sumber, berdasarkan keadaan mayatnya, remaja istimewa itu dipercayai tidak sedarkan diri di kawasan itu selepas ususnya mengalami kebocoran sebelum meninggal dunia.

Katanya, mangsa ditemui tanpa pakaian dalam keadaan mengiring di atas batu.

“Mayatnya masih sempurna dan belum membengkak. Namun, organ dalaman sudah mulai reput.

“Ini bermakna mangsa meninggal dunia dalam tempoh kurang 48 jam sebelum ditemui,” katanya.

Beliau berkata, pemerhatian ke atas mayat mangsa juga tidak menemui sebarang kesan kecederaan yang boleh dikaitkan dengan jenayah atau rogol cuma calar di kaki.

“Tiada juga kesan mangsa ditarik atau dipimpin keluar oleh individu lain. Mangsa kemungkinan keluar sendiri dan sesat di kawasan hutan berkenaan.

“Disebabkan mangsa orang kurang upaya (OKU), dia mungkin tidak tahu mencari jalan keluar dan tidak dapat mencari makanan,” katanya.

Katanya, kesengsaraan dialaminya itu menyebabkan mangsa mengalami tekanan sehingga akhir hayatnya.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop pada sidang media berkata, punca kematian mangsa disebabkan oleh kebocoran usus akibat tidak makan dalam tempoh panjang dan mengalami tekanan.

Pada Selasa lalu, mayat Nora Anne Quoirin ditemui oleh sekumpulan pendaki yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR), pada jam 1.57 tengah hari.

Mangsa dilaporkan hilang kira-kira jam 8 pagi pada 4 Ogos lalu sebelum operasi SAR dilakukan oleh pasukan keselamatan yang dianggotai polis, Unit Anjing Pengesan (K9), Unit Senoi Praaq, Vat69, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Operasi turut disertai kumpulan sukarelawan, pendaki dan penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 5:10 AM