Laporan portal Harian Metro mengenai ciapan seorang lelaki mendakwa Nora Anne dirogol Orang Asli.
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS tahan seorang lelaki yang memuat naik ciapan mendakwa remaja Ireland, Nora Anne Quoirin dirogol oleh Orang Asli, malam tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, lelaki itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada 7 malam.

“Lelaki itu sudah ditahan dan kes diserahkan kepada Bukit Aman untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Semalam, Mohamad ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan memaklumkan polis menerima laporan mengenai suspek dan pihaknya segera mengesan lelaki terbabit.

Sebelum itu, tular di media sosial satu ciapan di Twitter oleh lelaki menggunakan nama Zikri Armstrong mendakwa remaja warga Ireland yang dilaporkan hilang sebelum ditemui mati selepas 10 hari itu dirogol Orang Asli.

Lelaki itu mendakwa polis tidak dapat mengesan pelakunya kerana pemubunuhnya tidak mempunyai kad pengenalan dan tiada data peribadinya.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 2:33 PM