TUNKU Azizah mencium dahi Puteri Norlyana Damia FOTO Farizul Hafiz Awang
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


“INI cucu saya yang ke-82, anak TAFF (Yayasan Fertiliti Tunku Azizah)... panggil nenek ya,” titah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada seorang kanak-kanak, Puteri Norliyana Damia Zainudin, 7.

Reaksi spontan itu dizahirkan Tunku Azizah selepas menyedari kehadiran Puteri Norliyana Damia yang memakai rantai khas TAFF berserta loket yang tertulis maklumat kelahirannya.

Kanak-kanak tahun satu Sekolah Kebangsaan Maran itu adalah anak kepada pasangan Zainuddin Osman, 51, dan Nor Rabiatun Razali, 42, yang dilahirkan menerusi kaedah tabung uji (IVF) di bawah program TAFF.

Zainuddin dan Puteri Norliyana Damia sebelum itu menyambut keberangkatan tiba Tunku Azizah bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mencemar duli menziarahi tiga keluarga di Taman Sri Keramat, di Maran, hari ini.

Tunku Azizah yang memakai baju kurung berwarna putih dilihat beberapa kali memeluk dan mencium Puteri Norliyana Damia dan berulang kali menyebut ‘ini cucu saya’.

Sementara itu, Zainudin berkata, dia dan isterinya terpaksa menunggu selama 12 tahun menanti kehadiran puteri tunggalnya itu selepas pelbagai cara dilakukan mereka untuk memperoleh zuriat.

Katanya, dia membuat permohonan di Yayasan TAFF pada 2011 sebelum dipanggil untuk menjalani rawatan kira-kira lima bulan selepas itu.

“Dalam tempoh dua minggu selepas rawatan itu isteri saya disahkan mengandung dan ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa gembiranya saya ketika itu.

“Atas bantuan Tuanku dan TAFF dengan izin Allah saya dan isteri dapat bergelar ayah dan ibu, sesungguhnya ini adalah kurniaan terbesar buat kami,” katanya.

Menurutnya, sebaik dimaklumkan semalam mengenai keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di taman perumahan itu dia membuat keputusan untuk bersua muka dengan baginda berdua.

“Saya datang ke sini untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada Tunku Azizah kerana sebelum ini saya tidak berkesempatan untuk berbuat demikian.

“Sebaik baginda berdua tiba tadi saya mengangkat sembah dan memaklumkan Puteri Norliayana adalah anak TAFF, saya berasa terharu apabila melihat Tunku Azizah memeluk dan mencium anak saya,” katanya.

Katanya, dia tetap bersyukur walaupun mempunyai seorang sahaja cahaya mata dan berazam untuk menjaga sebaiknya amanah Allah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 2:47 PM