Muhammad Saufi Hassan

USIKAN keterlaluan terhadap agama Islam yang dilakukan oleh segelintir penganut agama lain serta perdebatan warga net dalam isu sensitif yang menyentuh kepada bangsa mengundang iklim kurang harmoni di negara ini.

Keadaan berkenaan dibimbangi akan mewujudkan jurang prejudis antara bangsa, malah lebih menakutkan akan melahirkan golongan ‘ultra bangsa’ jika tidak dibendung di peringkat awal.

Beberapa situasi terkini yang berlaku memberi gambaran bahawa wujud masalah dalam proses pembinaan negara bangsa sehingga ramai pihak prejudis dan saling berprasangka antara kaum serta agama.

Untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung konsep pembinaan negara bangsa yang dianjurkan oleh Islam, Kafe Ahad menemubual Timbalan Pengerusi Majlis Dakwah Negara Prof Emeritus Datuk Zakaria Stapa.

Ikuti perbualan beliau bersama wartawan, Muhammad Saufi Hassan dan juruvideo, Saiful Iskandar Ismail.


PROF Emeritus Zakaria Stapa. FOTO Sairien Nafis

Boleh Prof terangkan kaedah dianjurkan Islam berhubung menjaga keharmonian kemajmukan agama khasnya di Malaysia?

Al-Quran ada menjelaskan berhubung kenegaraan dan interaksi antara umat Islam bersama masyarakat yang bukan seagama dengan kita.

Al-Quran menerusi firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat memberitahu bahawa Allah menjadikan manusia ‘Syuuba Waqoba Ila..’ iaitu pelbagai bangsa dan kabilah serta memerlukan manusia untuk ‘Litaarafu..’ iaitu untuk saling kenal mengenal.

Konteks saling kenal-mengenal di sini adalah interaksi antara masyarakat berbeza kabilah, kemajmukan atau pluraliti dan perkara ini diiktiraf oleh Islam.

Allah SWT menjelaskan keperluan pelbagai bangsa kabilah atas tujuan utama untuk saling kenal-mengenal, bertukar pengalaman dalam usaha untuk memajukan alam ini dan tugas manusia sebagai khalifah Allah SWT.

Itu yang sepatutnya dilakukan oleh pendekatan umat Islam dalam keadaan kita wujud bersama dalam sebuah masyarakat berbilang kaum keturunan serta agama.

Kadang-kadang tidak semestinya keberadaan kita itu perlu dalam satu agama saja, malah kepelbagaian agama dalam kita saling hormat-menghormati.

Islam tidak melihat kehidupan dalam kemajmukan itu nantinya akan wujud satu masalah sebaliknya ia adalah peluang untuk interaksi sesama kita, saling kenal mengenal dan sekali gus membina sebuah negara yang baik.

Berdasarkan sirah Nabi Muhammad SAW, bagaimanakah kaedah Baginda dalam menyatukan penduduk walaupun berlainan agama?

Kalau kita tinjau daripada sirah Nabi SAW, ia berlaku di Madinah apabila wujud kumpulan Yahudi dan beberapa kelompok kumpulan lain.

Sirah Nabi SAW juga memperlihatkan bagaimana interaksi sesama Islam iaitu antara kaum Muhajirin dan Ansar berpadu dan membentuk sebuah pakatan atau pemuafakatan yang sangat baik.

Piagam Madinah juga mempunyai peruntukan kepada golongan bukan Islam dan mereka diberikan ruang untuk hidup selagi mana akur dengan pemerintahan Islam.

Bagaimanapun, wujud kumpulan yang mencabar Piagam Madinah menyebabkan orang Islam mengambil tindakan terhadap orang Yahudi.

Oleh itu, jelas kita dapat melihat daripada Sirah Nabi SAW bahawa kehidupan dalam pelbagai agama serta kabilah itu memang diiktiraf oleh Islam, namun mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi.

Jika kita melihat aspek kejiranan dalam Islam juga, Islam memberikan hak yang sama kepada jiran bukan Islam dan ini petunjuk jelas pembinaan sebuah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kefahaman atau bangsa.

Cabaran terhadap Islam di negara ini dilakukan pihak tertentu secara langsung dan tidak langsung. Pendapat Prof?

Saya rasa perkara itu harus dilihat secara luas kerana ia membabitkan beberapa faktor penting sebelum wujudkan krisis antara kaum atau sikap prejudis sesama kita.

Apa yang berlaku adalah manifestasi kepada tidak siapnya proses pembentukan negara bangsa dan kurang penghayatan terhadap kontrak sosial, Rukun Negara serta Perlembagaan yang sudah jelas menggariskan beberapa perkara.

Kini, isu berkaitan tulisan Jawi, tidak lama dulu penghinaan terhadap Rasulullah dan ada pihak yang memperlekehkan ulama serta macam-macam kejadian yang meningkatkan suhu interaksi antara kaum di negara ini.

Sepatutnya, pihak yang bertanggungjawab perlu memupuk nilai semangat untuk penghargaan kepada kontrak sosial yang sudah sekian lama kita capai secara bersama.

Ia turut membabitkan penghormatan kepada hak istimewa orang Melayu, Raja-Raja Melayu sebagai raja yang berdaulat, Islam sebagai agama Persekutuan dan bahasa Melayu yang diletakkan khusus di dalam Perlembagaan.

Semua pihak termasuk golongan bukan Melayu ini perlu menerima secara tepat perkara ini dan kembali kepada penghayatan kontrak sosial.

Pertikaian terhadap agama Islam tidak wajar kerana Islam sudah diletakkan secara khusus di dalam Perlembagaan dan orang lain wajar menghormatinya.

Menyuarakan rasa tidak puas hati kelompok tertentu terhadap Islam hanya akan mewujudkan satu situasi tidak harmoni malah kita bimbang ia akan membawa kepada fasa yang lebih buruk kelak.

Pada pandangan Prof, adakah wujud perpecahan antara kaum terutamanya apabila membabitkan sensitiviti beragama?

Saya fikir perlu kita lihat semula sistem pendidikan yang diguna pakai.

Apa yang terjadi hari ini adalah manifestasi kepada proses pengasingan pendidikan iaitu orang Melayu pergi ke sekolah kebangsaan manakala orang bukan Melayu pergi ke sekolah vernakular mereka.

Keadaan ini menjadikan bahawa kurangnya interaksi antara bangsa sehingga mencipta sifat prejudis sesama sendiri, persepsi yang salah terhadap sesuatu bangsa dan prasangka tanpa henti.

Bagi orang Melayu, prasangka mereka adalah orang bukan Melayu akan terus menuntut hak mereka dan meringankan isu keistimewaan orang Melayu.

Orang bukan Melayu pula berprasangka bahawa Melayu akan terus memperkecilkan hak mereka dan keadaan ini sebenarnya sangat tidak sihat.

Sudah sampai masanya kita melihat kembali sistem persekolahan di peringkat awal supaya anak-anak kecil kita dapat berinteraksi sesama bangsa dan berlakunya pemahaman berhubung sesuatu isu.

Keadaan yang berlaku hari ini adalah pengasingan sistem pendidikan sehingga menjadikan kita saling berkrisis sesama sendiri akibat daripada kurang kepercayaan.

Ini yang sedang berlaku, kita mungkin boleh menyorokkan masalah ini di bawah tikar, namun saya bimbang jika kita tidak menyelesaikan, ia akan mewujudkan masalah lebih besar kelak.

Majoriti warga Malaysia adalah penganut Islam, namun ada segelintir pihak kerap mempertikaikan selain ‘mengajar’ apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh penganut Islam?

Ini tidak wajar kerana menerusi Perlembagaan, Islam sudah diletakkan dalam posisi yang khusus iaitu sebagai agama Persekutuan.

Kita sudah sama-sama bersetuju di dalam kontrak sosial dan mungkin orang sekarang berpendirian bahawa kontrak itu dilakukan oleh orang lain dan bukannya mereka.

Hal-hal yang berkaitan dengan amalan keislaman sudah mestilah diberikan penghormatan yang lebih kerana agama itu sendiri sudah diletakkan dalam kedudukan istimewa di dalam Perlembagaan.

Jadi saya merasakan sangat tidak wajar jika ada pihak yang sengaja mencari isu kononnya umat Islam tidak boleh memuat naik gambar sembelihan lembu kerana ia berkaitan dengan agama lain.

Ini adalah pandangan pihak yang tidak faham dengan Perlembagaan, seperti yang saya katakan, Islam itu diletakkan di dalam Perlembagaan, sudah pasti hal berkaitan keislaman diberikan penghormatan.

Kita sebagai orang asal negara ini sudah memberikan ruang yang cukup baik kepada bangsa lain supaya kita boleh sentiasa berpadu untuk membina negara ini.

Jika disorot kembali seperti di Thailand atau Indonesia, mereka tidak membenarkan wujud sekolah aliran bangsa atau vernakular ini.

Setiap pelajar yang berumur sekian perlu memasuki sekolah arus perdana mereka. Ini jelas. Namun, di Malaysia kita bertoleransi dan memberikan ruang kepada bangsa lain.

Sewajarnya, semua pihak menghormati apa yang sudah dipersetujui sekian lama dan apa yang sudah termaktub di dalam kontrak sosial.

Pada pendapat Prof, bagaimana perasaan masyarakat Islam di Malaysia selepas pelbagai isu berkaitan Islam dipertikai pihak tertentu?

Ini adalah persoalan yang sangat dibimbangi. Jika asakan demi asakan ini terus dilakukan, saya pasti akan ada orang Melayu yang mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan perkara itu dengan mengambil undang-undang di tangan mereka.

Kita tidak mahu perkara itu berlaku jadi sebolehnya kita cuba sekat dan kawal dengan memberikan penerangan kepada bangsa lain termasuk Melayu supaya tidak memainkan sensitiviti.

Ini adalah negara kita, buat apa jika kita asyik salah-menyalahi kerana yang rugi nanti adalah kita juga, bukan orang lain.

Saya juga sedih selepas sekian lama kita merdeka, masih ada warga Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu sedangkan bahawa itu adalah bahasa kebangsaan.

Perkara ini menambahkan lagi prasangka orang Melayu, jadi saya merasakan kita perlu pelbagai peralatan untuk memupuk kembali perpaduan yang nampaknya kian menjurang.

Secara keseluruhannya, bagaimana Prof melihat perpaduan itu dapat dibina?

Seperti saya katakan, pihak berkaitan perlu lihat semula sistem pendidikan dengan menggunakan sekolah satu aliran saja kerana kita mahu anak-anak kita saling berinteraksi.

Interaksi berkenaan akan mengurangkan prasangka, prejudis dan memupuk kefahaman antara bangsa melangkaui batas agama.

Selain itu, realiti kita hidup dalam negara ini adalah pelbagai bangsa, jadi sudah sampai masanya kita cari titik persamaan dan bukannya terus-menerus mencari titik perbezaan.

Bangsa lain adalah warganegara Malaysia, bangsa Melayu adalah warganegara Malaysia dan tidak perlu kita asyik berbalah kerana jika sesuatu berlaku, kita akan rugi.

Bagaimana jika nanti negara tidak stabil akibat pertelingkahan kaum, agenda ekonomi tidak dapat diteruskan, pembangunan terhenti dan bermacam musibah lagi.

Ini adalah akibatnya jika kita terus-menerus mencari perbezaan tanpa mengetepikan sentimen emosi yang hanya akan merugikan kita saja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 7:31 AM