WAN Zakiah ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KOTA BHARU: “Kehilangan suami secara mengejut adalah dugaan paling besar perlu saya hadapi bersama lapan anak yang masih kecil.

“Buat masa ini saya akan tinggal bersama ibu mentua di Kampung Changgai, Pasir Puteh kerana saya tiada rumah dan sudah kehilangan ibu bapa,” kata Wan Zakiah Wan Abdul Razak, 39, isteri kepada Zulfaizan Muhammad.

Zulfaizan, 43, yang memandu van Toyota Hiace terbabit kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, berhampiran Kampung Lepan Jaya, dekat Gua Musang, Jumaat lalu.

Kejadian 4.10 pagi itu turut menyebabkan Che Azmi Che Hamzah, 48, dan isteri, Nor Hayati Mohamed, 43, yang menaiki Toyota Avanza, maut.

Wan Zakiah berkata, kemalangan itu turut menyebabkan lapan anaknya, Siti Fatimah Zulfaizan, 15, Masyitah, 14, Khaulah, 11, Solehah, 9, Mawaddah, 7, Sakinah, 5, Muhammad Saad, 3, dan Ahmad Zaid berusia setahun, cedera.

Katanya, dia dan tujuh anaknya yang dirawat di Hospital Gua Musang sudah pulang kelmarin, manakala Khaulah yang patah paha masih dirawat di Hospital Kuala Krai.

“Saya perlu tabah demi anak-anak yang masih kecil walaupun hilang punca pendapatan dalam masa singkat namun kehidupan perlu diteruskan.

“Selepas ini, saya akan membuat kuih untuk dijual bagi menyara persekolahan anak-anak dan memberi pendidikan terbaik seperti yang dihasratkan arwah suami iaitu menghantar anak belajar tahfiz serta menghafaz al-Quran. Sebelum ini, saya juga membantu suami dengan menjual kuih di Meru, Klang.

“Kami berpindah ke Meru, Klang untuk mencuba nasib dan mengumpul wang untuk membeli rumah namun tidak kesampaian apabila suami pergi dulu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, suaminya menjadi guru di Tahfiz Darul Ulum Zaiyadal, Meru, Klang lebih setahun lalu dan sebelum itu dia menjadi bilal di Masjid Kampung Changgai.

Wan Zakiah yang patah buku lali kanan berkata, dia reda dengan kejadian itu dan bersyukur kerana adik beradik, ahli keluarga dan jiran tetangga sudi memberi bantuan.

Kepada orang ramai yang ingin membantu meringankan boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Islam milik Wan Zakiah Wan Abdul Razak bernombor 03090020286719.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, tiga maut termasuk suami isteri, manakala 12 mangsa yang lain cedera dalam kemalangan di antara sebuah MPV dengan van di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis berhampiran Kampung Lepan Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 5:40 AM