KAMARUL Sharizam bersama enam anaknya ketika di rumahnya di Taman Politeknik, Port Dickson.
Mohd Khidir Zakaria


PORT DICKSON: Seorang bapa tunggal buntu memikirkan masa depan enam anaknya selepas menghadapi masalah kesihatan yang menyebabkan dia tidak mampu bekerja.

Kamarul Sharizam Kamarudin, 40, berkata dia perlu membesarkan semua anaknya yang berusia dua hingga 13 tahun di rumahnya di Taman Politeknik di sini, selepas bercerai dengan isterinya dua tahun lalu.

“Bekas isteri meninggalkan semua anak kepada saya sebaik kami bercerai dua tahun lalu. Itu hak dia untuk bebas.

“Namun saya bimbang dengan nasib enam anak yang masih kecil, jika ditakdirkan umur saya tidak panjang akibat pelbagai penyakit seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis, asma dan batu karang.

“Saya baru sahaja keluar dari hospital selepas koma beberapa hari. Anak saya terpaksa hidup sendiri di rumah tanpa penjagaan. Pernah juga mereka mengadu kerap kelaparan kerana tiada makanan,” katanya.

Dia ditemui selepas menerima bantuan barangan makanan harian daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) di rumahnya di sini, semalam.

Kamarul berkata, selepas berbincang dengan saudara-mara, dia mengambil keputusan menyerahkan empat anaknya kepada rumah kebajikan.

“Memang ia satu keputusan yang sukar tetapi demi masa depan mereka, saya terpaksa. Saya sudah tidak mampu lagi dan harap mereka dapat menyesuaikan diri di rumah kebajikan itu nanti.

“Anak perempuan yang bongsu berusia dua tahun akan dijaga adik saya di Seremban dan anak sulung lelaki berusia 13 tahun akan kekal bersama saya kerana dia alami autisme sejak kecil.

“Nasib baik saya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sejak dua bulan lalu. Namun rumah yang saya duduki ini bakal dilelong tidak lama lagi.

“Mungkin selepas ini saya terpaksa menumpang di rumah adik di Senawang,” katanya.

Menurutnya, ujian dialaminya ketika ini ada hikmah tersendiri dan dia reda menerimanya malah sangat berterima kasih kepada Perkasih atas keprihatinan mereka.

“Harapan saya supaya anak yang bakal ditempatkan di rumah kebajikan menumpukan perhatian kepada pelajaran dan menjadi orang berguna kelak,” katanya dalam keadaan berlinangan air mata.

Sementara itu, Pengerusi Perkasih N9, Norfadilah Mansor berkata, empat anak Kamarul diserahkan kepada Rumah Kebajikan Al Kausar, Senawang.

“Empat anak berusia dari empat hingga 11 tahun akan diambil sedikit masa lagi. Orang ramai yang mahu membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyumbang ke akaun Maybank 158163041394 (Kamarul Sharizam) atau hubungi saya, Norfadilah Mansor di talian 012-980 5132,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 5:50 AM