Skip this ad x
TIGA beranak termasuk bayi berusia lingkungan setahun maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim. FOTO IHSAN BOMBA
Mohd Hafizee Mohd Arop


TIGA beranak termasuk bayi berusia setahun maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim, dekat Slim River, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Yunus Abu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 3.52 pagi sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River sampai di lokasi.

Menurutnya, BBP Kuala Kubu Bharu, Selangor dengan bantuan BBP Tanjung Malim turut dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, ketika operasi pemadaman dijalankan, anggota menemui tiga mayat mangsa dalam keadaan terbakar sepenuhnya di bilik pertama rumah itu.

“Mayat mangsa dipercayai suami isteri berusia 30-an dan bayi mereka berusia setahun lebih ditemui dalam bilik berkenaan dalam keadaan terbakar sepenuhnya.

“Ketiga-tiga mayat berkenaan kemudiannya diserahkan kepada polis dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Slim River untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

Yunus berkata, operasi pemadaman masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 8:08 AM