MENDIANG Nora Anne Quoirin (kanan) bersama ibunya. FOTO AFP
Azzman Abdul Jamal


POLIS Negeri Sembilan menafikan laporan media antarabangsa kononnya keluarga Nora Anne Quoirin, 15, dibawa berjumpa pengamal perubatan tradisional dalam usaha mengesan remaja Ireland itu ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilaksanakan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, dakwaan yang kononnya polis berbuat demikian kerana pasukan SAR sudah buntu mengesan remaja berkenaan adalah tidak benar.

“Tidak benar. Saya tidak pernah arahkan mana-mana pegawai berbuat demikian,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal media antarabangsa melaporkan pihak polis membawa ahli keluarga Nora Anne bertemu pengamal perubatan tradisional kerana sudah buntu dalam usaha mengesan remaja Ireland itu.

Media itu melaporkan empat individu melakukan sesi berkomunikasi dengan makhluk halus supaya Nora Anne dipulangkan segera dan turut menjemput ibu bapa mangsa menghadiri upacara itu.

Turut dilaporkan upacara itu diadakan dalam tempoh 24 jam sebelum mayat Nora Anne ditemui.

Terdahulu, Nora Anne yang mengalami masalah lembam sebelum ini dilaporkan hilang ketika menginap di sebuah resort di Pantai pada 4 Ogos lalu, sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi SAR.

Mayatnya kemudian ditemui pada 13 Ogos lalu, sebelum diterbangkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat dan dituntut ahli keluarga.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 8:28 PM