MUHAMMAD Zikri Ibrahim, diikat jamin oleh bapanya di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. FOTO Hafiz Sohaimi
Nor Azura Abdul Jalil


PEGAWAI pemasaran dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan membuat kenyataan yang boleh membangkitkan kemarahan Orang Asli menerusi ciapan Twitter yang mendakwa remaja Ireland, Nora Anne Quoirin dirogol etnik itu, minggu lalu.

Muhammad Zikri Ibrahim, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorasyikin Sahat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan Twitter dengan menggunakan profil akaun “Zikri Armstrong” dengan sengaja mengaibkan dan secara sedar telah membuat kenyataan yang boleh membangkitkan kemarahan kepada masyarakat Orang Asli dengan maksud bangkitan marah itu akan memecahkan dan menggugat keamanan awam.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di Kuala Lumpur, pada jam 8.30 malam, 14 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Syazwan Mohd Salleh.

Terdahulu, Julia menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh namun Muhammad Syazwan memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah kepada anak guamnya atas alasan tertuduh bakal berkahwin Disember ini dan bapa tertuduh akan menjaminnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 September ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, tular di media sosial satu ciapan di Twitter oleh lelaki menggunakan nama Zikri Armstrong mendakwa remaja warga Ireland yang dilaporkan hilang sebelum ditemui mati selepas 10 hari itu dirogol Orang Asli.

Lelaki itu mendakwa polis tidak dapat mengesan pelakunya kerana pembunuhnya tidak mempunyai kad pengenalan dan tiada data peribadinya.

Pada 16 Ogos lalu, polis menahan seorang lelaki yang memuat naik ciapan itu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 1:05 PM