KEADAAN bayi berkenaan selepas kejadian. FOTO Ihsan Keluarga
Norizuan Shamsuddin


BAYI perempuan berusia 13 bulan melecur di bahagian dada dan leher selepas terkena air panas di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Kuala Terengganu, kelmarin.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, mangsa, Nur Syafiqa Wardani Rosli terpaksa dikejarkan klinik berdekatan.

Ia dipercayai selepas bekas mengandungi air panas jatuh mengenai badannya ketika berada di bawah jagaan pengasuh pusat berkenaan.

Bapa mangsa, Rosli Musa, 33, berkata, sebelum kejadian, dia menghantar anak bongsunya ke pusat jagaan itu, 8.30 pagi.

Katanya, dia menerima panggilan telefon daripada isterinya, Masyitah Ahmad, 32, kira-kira satu jam kemudian memaklumkan pengasuh pusat jagaan berkenaan menghubunginya memaklumkan anaknya melecur akibat terkena air panas.

“Ketika itu, saya berada di tempat kerja di Ajil, Hulu Terengganu, manakala isteri yang bekerja berdekatan dengan pusat jagaan itu terlebih dahulu bergegas ke lokasi.

“Apabila sampai, isteri bersama pihak pusat jagaan itu menghantar anak ke sebuah klinik berdekatan sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

“Bagaimanapun, apabila sampai di rumah, saya lihat keadaan anak agak membimbangkan dan kami mengambil keputusan menghantarnya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di HSNZ di Kuala Terengganu.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, Nur Syafiqa masih ditempatkan di wad HSNZ dan dilaporkan stabil.

“Keadaan dia stabil tetapi kami tidak pasti sama ada dia perlu menjalani pembedahan bagi menampal kulit yang melecur itu atau sebaliknya kerana perlu menunggu keputusan pakar hospital berkenaan.

“Pengurusan pusat jagaan berkenaan ada datang berjumpa kami. Mereka memaklumkan kejadian berlaku apabila anak saya masuk ke dapur tanpa disedari pengasuh dan dipercayai menarik alas meja sebelum bekas berisi air panas jatuh dan tumpah mengenai badannya,” katanya.

Menurut Rosli, dia membuat laporan di Balai Polis Chendering, jam 11.29 malam, hari sama untuk siasatan lanjut kerana percaya kejadian berlaku akibat kecuaian pengasuh.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 2:03 PM