HARUSSANI Zakaria
Muhammad Apendy Issahak


MUFTI Perak Tan Sri Harussani Zakaria berpendapat semua isu sedang hangat diperkatakan ketika ini hendaklah ditangani mengikut senarai keutamaan dan kepentingan terhadap rakyat.

Menurutnya, masyarakat secara umum masih lagi berbicara berkenaan isu tulisan jawi, penghinaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penceramah Dr Zakir Naik yang masih tidak menampakkan penyelesaian tuntas dan melegakan pihak yang bertelagah.

Beliau berkata, apa pun dibicarakan pada asasnya menzahirkan betapa masyarakat sebenarnya peka dan sensitif dengan suasana persekitaran, apatah lagi ia menyentuh sensitiviti agama, bangsa dan tanah air.

“Saya mengambil berat dan meneliti isu berlaku, namun menurut pengamatan saya semua isu hendaklah ditangani mengikut senarai keutamaan dan kepentingan terhadap rakyat negara ini.

“Sebagai sebuah kerajaan prihatin, semua isu ini perlu dianggap penting dan diselesaikan mengikut keutamaan serta sejajar dengan kepentingan majoriti tanpa mengenepikan hak minoriti.

“Secara lazimnya, penzahiran terhadap beberapa isu seperti yang ditular netizen sehingga menyebabkan masyarakat kurang mempedulikan isu tertunggak seperti pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang, isu Rang Undang-Undang Pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor, isu dakwaan jenayah terhadap pembantu rumah dan isu lain yang berbangkit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Harussani berkata, dia melihat isu Dr Zakir Naik adalah sebagai sentuhan sentimen kurang senang dan salah persepsi daripada golongan yang tidak menyenangi kehadiran penceramah itu termasuk golongan ekstremis.

“Saya menghargai sumbangan dan kepakaran Dr Zakir Naik dalam pentas dakwah Islamiah dan penerimaannya sebagai penduduk tetap sudah pasti dinilai kerajaan dengan kriteria rasional dan munasabah.

“Adalah tidak wajar kita bersama-sama menyahut seruan menghalau beliau pulang semata-semata meraikan dan mengikut rentak kebencian pihak tertentu,” katanya.

Menurutnya, bagi isu penghinaan terhadap ATM pula, ia adalah satu perbuatan paling tidak beradab dilakukan oleh warga yang mendapat nikmat keamanan dan kekayaan daripada jerih payah pihak diperlekehkan.

“Saya menyokong ucapan tegas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang menyebut ‘sesiapa sahaja tidak kira daripada mana-mana kaum yang menghina ATM, dia adalah musuh negara’.

“Saya menyarankan tindakan tegas diambil terhadap Koon Yew Yin sebagai menunjukkan ketegasan dalam menegakkan undang-undang atas prinsip ‘the rule of law’ supaya perbuatan itu tidak diulangi oleh sesiapa pun,” tegasnya.

Bagi isu tulisan jawi pula, Harussani berpandangan ia tidak sepatutnya dipanjangkan dan kerajaan sewajarnya bertegas tanpa tunduk kepada pihak tertentu dan yakin kehendak asal pelaksanaannya yang bersifat holistik untuk kebaikan negara bangsa.

“Maka, saya mengharapkan ketegasan dan kebertanggungjawaban kerajaan dalam menangani sesuatu perkara yang menimbulkan keresahan dan penerapan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin yang sering diwar-warkan perlulah dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 8:27 PM