Alias Abd Rani


DEK kerana tidak mahu ke hospital, lelaki warga emas mencipta drama komedi termasuk berbahasa Tamil dengan seorang doktor hingga menimbulkan gelak tawa di klinik di Tangkak, Johor, baru-baru ini.

Surip Taruak, 81, dibawa ke klinik terbabit oleh anak dan cucunya akibat pendarahan hidung selepas menjalani ibadah korban pada hari pertama Aidiladha.

Sebaik tiba di klinik berkenaan, doktor yang merawatnya meminta ahli keluarga membawa lelaki terbabit mendapat rawatan susulan di hospital kerana bimbang perkara lain berlaku.

Menceritakan peristiwa lucu itu, cucunya, Nur Adibah Rosli, 22, berkata, sudah menjadi kebiasaan datuknya untuk mengelak setiap kali diminta menjalani rawatan di hospital jika kesihatan tidak mengizinkan.


GELAGAT Surip ketika berbual dengan doktor di klinik di Tangkak, Johor, baru-baru ini dalam usaha mencari helah selepas disarankan mendapat rawatan di hospital.

“Pada hari terbabit, hidung datuk berdarah mungkin disebabkan kepenatan selepas ibadah korban. Kami membawanya ke klinik, namun doktor mencadangkan supaya dirujuk ke hospital berdekatan.

“Dari situlah bermula drama datuk. Mula-mula doktor klinik terbabit berkomunikasi dengan kami dalam bahasa Inggeris tapi dia (datuk) tidak faham. Tiba-tiba datuk bertutur dalam bahasa Tamil dan kebetulan doktor merawatnya berbangsa India.

“Dia memberitahu doktor sudah sihat dan tidak mahu ke hospital, mahu balik rumah untuk berehat. Tidak cukup dengan itu, datuk memberitahu dia tidak sakit, sebaliknya yang sakit adalah isterinya (nenek) dan anaknya (emak).

“Sebab itulah kami ketawa melihat gelagatnya pada hari terbabit. Macam-macam alasan dibuat semata-mata tidak mahu ke hospital kerana bimbang ditahan di wad,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Gelagat lelaki mempunyai lapan anak serta 21 cucu itu dirakam Nur Adibah sebelum dimuat naik dalam Twitter dan ditonton lebih 379,000 pelayar laman sosial berkenaan.

Berikut adalah perbualan datuk yang dirakam selama 10 saat.

Datuk: Saya tak nak susahkan wife I dan emak dia.

Doktor: Tapi dia orang sanggup datang.

Datuk: Dia orang demam.

Doktor: Siapa yang demam?

Datuk: Wife I dengan mak dia.

Katanya, walaupun datuk sudah berusia, dia masih aktif melakukan kerja rumah termasuk menyapu sampah, menyiram pokok bunga dan sebagainya.

“Kadang-kala kami tidak sempat hendak lakukan kerja itu, dia sudah buat awal-awal lagi.

“Dia sudah biasa buat kerja memandangkan sebelum ini, datuk pernah menjadi penoreh dan melakukan kerja kampung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 10:00 PM