ALIF tekad sertai Ironman Langkawi 2019 pada Oktober depan.
Ridzuan Abdul Rahman


BERMULA sebagai penyanyi dengan menyertai program realiti One In A Million ketika berusia 16 tahun, Alif Satar kemudian melebarkan sayap sebagai pelakon dan seterusnya menceburi bidang pengacaraan pula.

Semua bidang ini berjaya ditangani dengan baik oleh pemilik nama sebenar Muhammad Alif Mohd Satar

ini.

Sebagai individu yang sukakan cabaran, Alif, 29, mencuba nasib menyertai sukan Ironman Langkawi 2018 yang berlangsung, November lalu. Memadai buatnya apabila menduduki tempat ke-446 daripada 946 peserta yang bertanding dalam acara itu.

Tidak serik, penyanyi yang kini tampil dengan single terbaharu berjudul I Want You To Love Me dan mengacara program Big Stage musim ini bertekad sekali lagi menyertai Ironman Langkawi 2019 pada Oktober ini dan giat menjalani latihan secukupnya.

“Cabarannya masih sama iaitu triatlon apabila saya perlu berenang di laut selama empat kilometer (km). Selepas itu mengayuh basikal 180km dan seterusnya berlari 42km sebelum menamatkan cabaran,” katanya.

Menurutnya, penyertaan untuk Ironman Langkawi 2019 dihadkan kepada 2,000 peserta dan dia tidak mahu ketinggalan menyahut cabaran itu.

“Ia terbuka untuk atlet triatlon dan mereka yang sukakan sukan lasak. Tak dinafikan ia sukan yang mencabar dan susah kerana memerlukan kekuatan fizikal.

“Pesertanya juga datang dari banyak negara di seluruh dunia. Tujuan saya cuma sebagai aktiviti riadah dan bukan untuk cari kemenangan.

“Rasanya dalam kalangan artis, hanya saya seorang yang menyertai program ini. Dari aspek latihan, saya memang ada jurulatih khas yang mengajar. Setiap Khamis, Sabtu atau Ahad, saya akan dilatih untuk sesi berbasikal, berlari dan berenang,” katanya.

Alif berkata, walaupun sesi latihan ini ketat, tidaklah sehingga dia mengabaikan karier seninya.

“Jika ada kerja berkaitan seni sebelah pagi, saya akan melangsaikan tugasan itu dulu dan sebelah petangnya sehingga malam, barulah saya fokus dengan latihan.

“Ia langsung tak menjejaskan kerja lain,” katanya.


ALIF berlatih untuk sesi berbasikal bersama rakan.

I Want You To Love Me beri pengalaman baru

Bercerita mengenai single I Want You To Love Me, Alif berkata, lagu sentuhan Faizal Tahir bersama Ezra Kong, Romeo dan Mike Chan itu amat menarik.

“Ia membawa pengalaman baharu apabila memberi ruang buat saya meneroka sisi kreatif dalam penulisan lagu, lirik serta proses rakaman.

“Bersama Faizal dan pasukan Faithful Music, saya menemui bunyi yang diimpikan iaitu moden dan pada masa sama sesuai dinikmati semua kelompok pendengar.

“Secara peribadi, saya berpuas hati dengan penghasilan lagu ini. Susunan muziknya juga serasi dengan cara penyampaian saya dan paling penting, mereka membuatkan saya selesa sepanjang proses rakaman berlangsung,” katanya.

Paling mengujakan, lagu ini turut dilancarkan serentak bersama video muzik yang dirakam dalam format hitam putih.

“Berbanding video muzik terdahulu yang lebih menekankan elemen drama, kali ini ia lebih menonjol dari sudut muzik.

“Secara peribadi, saya melihat video muzik I Want You To Love Me membawa peminat menikmati produksi yang memiliki kelas tersendiri, sekali gus memberikan kepuasan kepada pencinta muzik,” katanya.

Beberapa bulan lalu, Alif tampil bersama Raihan menerusi lagu Sesungguhnya 2019 dan ia berjaya melonjakkan namanya kepada peminat.

“Apabila lagu ini diterima baik peminat, saya terfikir untuk hasilkan single terbaharu pula. Alhamdulillah segala-galanya dipermudahkan kerana single ini dapat disiapkan mengikut perancangan.

“Ini gandingan kedua saya dengan Faizal selepas lagu Sesungguhnya Aku pada 2017 yang dipilih sebagai lagu tema drama Red Velvet,” katanya.

Lagu lain yang pernah dinyanyikan Alif antaranya Jangan Nakal, Lelaki Seperti Aku, Akhiri Penantianku dan Selamanya Cinta (duet bersama Shila Amzah).

Menurutnya, dia melihat penghasilan single terbaharu amat penting bagi meneruskan kesinambungannya dalam nyanyian.

“Selain orang tengok nyanyian saya di YouTube, orang tengok saya berlakon di TV dan melihat saya dengan Raihan, mereka tentu nak dengar lagu terbaharu saya.

“Apabila rakam lagu, saya tidaklah mengharapkan ia didengari sangat, tapi ini kerana kerjaya sebagai penyanyi. Jika saya tak menghasilkan sebarang lagu baharu, saya bukan dikira penyanyi. Saya sentiasa kena aktif dalam nyanyian, dengan suasana persaingan yang menyeronokkan,” katanya.

Bahagia dalam kehidupan rumah tangga dengan Sha Dila Halid yang dikahwini pada September 2014, Aliff kini gembira menantikan kehadiran anak ketiga mereka.

“Dua anak saya sebelum ini ialah Alisha Anugerah, 4, dan Ariana Mecca, 2,. Kini saya dianugerahkan anak lelaki pula yang bakal dilahirkan pada Oktober nanti.

“Ia sesuatu yang dinantikan dan melengkapkan kehidupan keluarga kami. Tak sabar rasanya menantikan kelahirannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 5:30 AM