REMY tak sangka masih menjadi pilihan banyak pihak untuk watak hero pada usia sekarang.
Ramlah Zainal


WATAK Kanda Danny lakonannya dalam drama bersiri popular Pujaan Hati Kanda (PHK) yang bersiaran di Slot Akasia TV3 masih diingati penonton hingga hari ini.

Malah, fenomena watak Kanda Danny bergandingan dengan pelakon popular Mira Filzah, membuktikan Remy Ishak, 36, masih relevan meskipun ada ramai bakat baru dalam industri seni ketika ini.

Secara peribadi pemilik nama sebenar Mohammad Zalimei Ishak ini sangat bersyukur kerana masih mendapat kepercayaan penerbit, pengarah drama dan filem selepas 15 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.

“Alhamdulillah, rezeki semakin murah dalam bidang lakonan selepas kejayaan drama PHK.

“Bukan sahaja projek drama dan telefilem, saya juga banyak mendapat tawaran berlakon filem ketika ini.

“Malah agenda seni padat dan saya belum sempat berehat sejak Ramadan lalu,” katanya.

Namun, kata Remy, dia sangat memilih watak yang ditawarkan demi kepuasan diri.

“Tak sangka saya masih menjadi pilihan banyak pihak untuk bawa watak hero pada usia sekarang. Maklumlah, ramai hero yang lebih muda, berbakat dan memiliki pakej lengkap ketika ini.

“Namun, saya anggap ia rezeki berkat kerja keras dan menjaga kualiti lakonan sejak dulu,” katanya.

Selain drama bersiri PHK, siri mini lakonannya, Keluarga Bahadon juga ditayangkan menerusi saluran Viu.


LAKONAN mantap Remy dan Mira Filzah dalam Pujaan Hati Kanda Raya.

Mengenai projek filem pula, kata Remy, dia bakal muncul dengan naskhah genre aksi, Sangkar dan Dendam Pontianak.

Ditanya mengenai Sangkar yang bakal ditayangkan di pawagam tanah air pada 29 Ogos ini, kata Remy, dia melakonkan watak Johan selaku petinju dalam filem seni bela diri campuran (MMA) itu.

Menerusi karya arahan Kabir Bhatia itu, Remy bergandingan dengan Zul Ariffin, Mira Filzah dan Fadlan Hazim.

“Saya berdebar menanti maklum balas penonton di pawagam nanti.

“Apatah lagi ada pihak mendakwa saya sengaja menayangkan susuk tubuh sasa dalam filem ini.

“Sedangkan saya melakukannya kerana memenuhi tuntutan watak semata-mata,”katanya.

Filem Sangkar juga menyaksikan kerjasama Primeworks Studios, Astro Shaw, Infinitus Gold dan mm2 Entertainment.

Babak panas dalam Dendam Pontianak?

Selain Sangkar, Remy turut mempertaruhkan filem seram Dendam Pontianak yang akan menjengah pawagam tanah air pada 12 September nanti.

Terdahulu, filem arahan pengarah dari Singapura Glen Goei dan Gavin Yap terbitan Tiger Tiger Pictures dengan kerjasama Primeworks Studios itu akan ditayangkan di pawagam negara berkenaan pada 29 Ogos ini.

Selain Remy, filem itu turut menampilkan pelakon hebat seperti Fazura, Namron, Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nadia Aqilah dan Shenty Feliziana.


BABAK Remy ketika menjiwai watak Khalid dalam Filem Dendam Pontianak.

“Sebagai pelakon utama iaitu watak Khalid pastinya saya berdebar menanti tayangannya di pawagam tanah air kerana ramai menaruh harapan tinggi terhadap filem ini.

“Selain menimba pengalaman berbeza bekerja dengan pengarah luar negara, Dendam Pontianak masih mengekalkan elemen dan budaya Melayu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 6:00 AM