MOHD NASLI. FOTO Rozainah Zakaria
Norizuan Shamsuddin


PENGANGGUR mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Kuala Terengganu, hari ini, atas pertuduhan menetak Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rawi, hingga putus ibu jari kanan.

Tertuduh, Mohd Nasli Mohd Nasir, 33, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Mohd Zamri hingga menyebabkan ibu jari tangan kanan mangsa putus dan mengalami cacat kekal.

Perbuatan didakwa dilakukan tertuduh dengan cara menetak mangsa menggunakan parang di sebuah kediaman di Padang Luas Jerteh, Besut, jam 12.30 tengah hari, 15 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Izzat Wan Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Kamaruzaman A Wahab.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 September depan sebagai tarikh sebutan kes dan tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Zamri cedera di kepala dan putus ibu jari kanan akibat ditetak jiran menggunakan parang di hadapan rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 12:48 PM