LUQMAN akan jalani sesi ujian bersama Cerezo Osaka.
Firdaus Hashim

KEJAYAAN skuad bawah 18 (B-18) tahun negara muncul naib juara Kejuaraan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) B-18 di Vietnam baru-baru ini nyata menarik minat beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga-M) untuk mendapatkan khidmat mereka.

Difahamkan, beberapa tawaran sudah dibuat pasukan ternama seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor dengan tumpuan terarah untuk memancing produk lepasan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang berlatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu.

Perkembangan berkenaan disambut baik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NFDP, Safirul Azli Abu Bakar yang melihat keadaan itu sebagai pengiktirafan buat generasi pertama yang dikumpulkan pada 2013.

Dengan tempoh latihan di AMD bakal berakhir buat mereka kerana faktor usia, sudah tentu kelompok pemain terdiri daripada penyerang sensasi muda negara, Luqman Hakim Shamsudin, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Firdaus Khaironisam, Harith Haiqal dan lain-lain perlu mencari pasukan baharu untuk meneruskan karier masing-masing.

Bagaimanapun, dalam keghairahan pasukan tempatan untuk mendapatkan pemain B-18, Safirul mengingatkan pemain supaya lebih bijak memilih agar potensi yang ada dapat diteruskan.

“Pemain kena buat keputusan tepat supaya kemahiran yang mereka dapat ketika berada di NFDP dan skuad elit AMD digunakan dalam saingan Liga Malaysia. Sayang kalau mereka ini tidak dapat minit permainan yang banyak dan hanya duduk di bangku simpanan. Sebab itu, pemain dan keluarga mereka kena buat keputusan tepat sebelum bersetuju sertai mana-mana pasukan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Beberapa pemain sudah mula dirisik pasukan tempatan, malah salah seorang pemain skuad B-18 negara mengaku keluarganya dihubungi pasukan berkenaan untuk ditawarkan kontrak.

Isu itu turut mendapat perhatian serius Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akan mencari formula terbaik bagi memastikan kelompok pemain B-18 tidak tenggelam apabila bersaing di Liga-M.

“Memang tugas NFDP adalah untuk ‘memasarkan’ pemain ke luar negara sejajar dengan misi dan visinya. Tapi kalau pemain tidak dibawa bermain atau berlatih di luar, bagaimana kelab-kelab asing dapat melihat prestasi mereka.

“Dulu, setiap tahun mereka dibawa ke Eropah bagi mendapatkan pendedahan. Sebab itu, pilihan bermain di Liga M adalah terbaik tetapi pemain kena buat pilihan yang betul untuk masa depan mereka,” katanya.

Untuk rekod, seramai tujuh pemain AMD bakal menjalani ujian bersama kelab di Liga Jepun bulan depan dan Luqman dikatakan antara pemain yang menjadi sasaran kelab Cerezo Osaka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 6:20 AM