Skuad Khas Harian Metro


ULAT mahkamah kuasai Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, selain berkongsi bayaran guaman hingga 50 peratus.

Itu kegiatan haram atau menyalahi undang-undang yang dikesan semakin berleluasa di bangunan mahkamah berkenaan dipercayai berlaku lebih setahun lalu.

Mereka sasar orang awam yang kurang pengetahuan mengenai kes atau prosedur mahkamah dengan menjadi perantara antara peguam dan mahkamah.

Kumpulan terbabit menikmati bayaran guaman hingga 50 peratus bagi setiap kes yang dikongsi bersama peguam atau syarikat guaman.

Sumber mendedahkan kepada Harian Metro di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur saja lebih 15 ulat mahkamah memainkan peranan berkenaan.

“Mereka akan mendekati orang awam yang datang ke mahkamah untuk proses perbicaraan. Geng ulat atau sesetengahnya mengenali mereka sebagai ‘runner’ bebas untuk bergerak di bangunan mahkamah.

“Mereka bukan berlegar-legar di kawasan parkir sebaliknya beroperasi di depan mahkamah. Contohnya, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur ada sembilan Mahkamah Majistret, inilah lokasi tumpuan operasi mereka,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Mengulas lanjut mengenai modus operandi kumpulan itu sumber memberitahu, ulat mahkamah akan mendekati orang awam yang berada di kawasan mahkamah.

“Mereka akan tegur atau bertanya tujuan kehadiran ke mahkamah. Apabila mangsa beritahu akan melalui perbicaraan, mereka memperkenalkan diri sebagai perantara mahkamah dan peguam.

“Kebanyakan orang awam tidak tahu malah mereka yang terdesak akan mempercayainya dan membuat rundingan mengenai harga. Bila sudah capai persetujuan barulah kes berkenaan diserahkan kepada peguam,” katanya.

Sumber berkata, ulat mahkamah pada kebiasaannya akan berkongsi bayaran guaman dengan peguam sehingga 50 peratus.

“Contohnya RM1,000 kos untuk kes pada hari itu. Ulat mahkamah akan peroleh RM500.

“Perbuatan ini sebenarnya salah di sisi undang-undang dan perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku.

“Tindakan ini juga menyebabkan kos guaman meningkat dan secara langsung menganiayai orang awam terbabit,” katanya.

Dalam perkembangan sama, sumber itu mendedahkan, kebanyakan mahkamah di ibu kota dan Selangor mempunyai ulat mahkamah.

Katanya, ada segelintir dalam kalangan ulat mahkamah ‘bekerja’ dengan syarikat guaman.

“Namun, ada segelintir ulat mahkamah pula menjadi ‘tauke’ kepada peguam yang mana akan membayar upah kepada peguam,” katanya.

Wartawan Harian Metro yang membuat tinjauan di kompleks mahkamah berkenaan juga disapa seorang daripada ulat mahkamah terbabit sebelum memperkenalkan dirinya sebagai Mr J.

Lelaki berusia lewat 40-an yang menawarkan bantuan menjadi perantara dengan peguam dan mahkamah itu kemudian berlalu pergi selepas dimaklumkan sudah ada peguam mengendalikan kes.

Harian Metro difahamkan, ulat mahkamah itu akan ‘berkampung’ di kawasan berkenaan bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari setiap hari.


NOTIS jauhi ulat yang dipasang di Mahkamah Majistret Jalan Duta.

Peguam berkomplot dengan ulat

Aktiviti ulat mahkamah yang semakin berleluasa disebabkan kesediaan segelintir peguam yang sanggup bekerjasama dengan mereka.

Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz berkata, jika tiada permintaan sudah pasti tiada penawaran.

“Dalam isu ini, peguam bela atau peguam cara yang membuka ruang kepada golongan terbabit. Jika tidak, ia tidak akan berlaku. Jika bukan peguam sendiri menghormati bidang kerjaya sendiri siapa lagi?

“Mereka adalah pengamal dan penegak undang-undang. Jika mereka juga melanggarnya demi wang, sudah pasti mencemarkan keseluruhan sistem berkenaan,” katanya.

Kaedah 51, Kaedah-Kaedah Profesion Undang-Undang (Amalan dan Kesopanan) 1978 tidak membenarkan aktiviti merayu atau meraih pelanggan atau mempromosikan diri dan syarikat guaman.

Shamrahayu berkata, Badan Peguam Malaysia perlu memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.

“Kenakan tindakan kepada peguam dan firma guaman yang bersekongkol atau menggaji ulat mahkamah berkenaan. Ini demi menghormati undang-undang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Shamrahayu berkata, cadangan untuk melesenkan ulat mahkamah tidak boleh dilakukan.

“Ia salah daripada segi undang-undang dan tidak boleh dilakukan. Sebaliknya, ulat mahkamah perlu dibanteras bagi mengelak penipuan,” katanya.

Beliau berkata, orang awam perlu membuat laporan polis jika dihampiri ulat berkenaan.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia Selangor (PGSMS) Abd Kadir Ismail pula berpendapat, aktiviti ulat mahkamah tidak akan boleh dihapuskan kerana sudah berlarutan sejak sekian lama.

Katanya, bagi mengatasi masalah berkenaan kumpulan itu perlu didaftar atau dilesenkan.


FOTO hiasan.

Aktiviti aniaya orang awam

Seorang peguam memberitahu kegiatan ulat mahkamah hanyalah menganiaya orang awam dengan memberikan janji manis kepada pelanggan demi keuntungan semata-mata.

Peguam yang enggan dikenali itu berkata, kegiatan itu sudah berlaku sekian lama di mahkamah, namun sukar dibendung disebabkan kurangnya pengetahuan masyarakat mengenai prosedur kes mahkamah.

Lelaki itu berkata, peguam yang bersekongkol dengan ulat bagi mencari klien ternyata melanggar etika guaman kerana prinsip asasnya adalah pelanggan yang mencari peguam, bukan sebaliknya.

“Peguam perlu mengikut etika guaman dengan tidak boleh mencari pelanggan sebaliknya mereka yang akan datang mencari bagi kes yang dihadapi, tidak kiralah kes sivil mahupun jenayah.

“Ia boleh jadi individu itu mengenali peguam yang akan mewakilinya melalui rakan mereka atau saudara mara,” katanya.

Mengulas lanjut, peguam yang sudah menjalankan khidmat guaman selama 10 tahun itu berkata, masalah berlaku apabila janji manis yang ditabur kepada pelanggan seperti jika mengambil khidmat guaman mereka, pastinya individu itu akan mendapat jaminan rendah atau hukuman ringan.

“Orang awam akan beranggapan ulat dan peguam yang terbabit mempunyai hubungan baik dan berpakat dengan hakim atau majistret dan juga timbalan pendakwa raya untuk menyelesaikan kes tetapi sebenarnya tidak berlaku,” katanya.

Selain itu, lelaki itu juga memberitahu bahawa peguam tidak boleh sewenang-wenangnya mengiklankan diri sendiri dan ia boleh dilihat melalui papan tanda untuk sesebuah firma guaman.

“Malah, papan tanda bagi firma guaman juga mempunyai spesifikasi yang perlu dipatuhi seperti saiznya.

“Ini bagi mengelakkan peguam daripada mengiklankan diri mereka untuk mendapatkan pelanggan,” katanya.

Sementara itu, seorang wanita yang pernah menjadi Pelatih Dalam Kamar (PDK) di mahkamah memberitahu dia tertekan kerana terpaksa berebut kes dengan ulat mahkamah

“Kesannya kami sukar untuk belajar disebabkan ulat sudah mengambil alih kes yang sepatutnya kami bawa.

“Walhal kami akan mewakili kes untuk anak guam secara percuma dan tindakan ulat dan peguam ini seperti mementingkan wang semata-mata,” katanya.


LIEW Vui Keong.

Menteri mahu buat mesyuarat

Kerajaan akan mengambil langkah proaktif bagi membanteras kegiatan ulat mahkamah yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam jangka masa terdekat untuk membincangkan isu itu.

“Saya sedar akan kegiatan ulat semakin berleluasa di mahkamah, hospital dan balai polis .

“Justeru, satu mesyuarat bersama pihak mahkamah, Jabatan Peguam Negara,Majlis Peguam dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diadakan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau turut mengingatkan bahawa kegiatan ulat mahkamah adalah satu kesalahan.

“Peguam yang terbabit dalam kegiatan ini boleh didakwa mengikut seksyen 15A Akta Kesalahan kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM500,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 6:25 AM