PUI (kanan) bersama ahlinya menyerahkan sumbangan lampin pakai buang dan susu khas kepada Sarimah untuk anak bongsunya Tuan Muhammad Faiz yang dijangkiti kuman di bahagian otak di rumahnya di Taman Tiong, Kampung Rupek.
Siti Rohana Idris


JIKA dahulu dia adalah seorang kanak-kanak yang aktif dan menyerlah di dalam kelas, tapi kini hanya terlantar di atas katil di rumahnya.

Tuan Muhammad Faiz Tuan Mansor berusia sembilan tahun dijangkiti kuman di otak menyebabkan dia tidak berupaya berjalan dan bercakap malah hanya bergantung kepada susu khas yang diberi menerusi tiub di hidung untuk meneruskan hidup.

Semuanya bermula hanya kerana demam panas pada Jun lalu iaitu beberapa hari sebelum cuti sekolah sempena Aidilfitri berakhir.

Ibunya, Sarimah Mat Ail, 49, berkata anak bongsu daripada enam beradik itu sempat menghadirkan diri sehari sahaja selepas sesi persekolahan dibuka semula dan kembali diserang demam.

“Kami membawanya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan keadannya semakin teruk dan mula kejang.

“Anak saya terus tidak sedarkan diri dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan bergantung kepada mesin oksigen,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tiong, Kampung Rupek, di sini, semalam.

Sarimah berkata, anaknya menerima rawatan lebih sebulan di hospital itu sebelum dibenarkan pulang.

Menurutnya, sehingga kini Tuan Muhammad Faiz tidak menunjukkan perubahan positif namun memberi tindak balas jika dipanggil nama.

“Jika dipanggil namanya, Faiz akan memberi respon sama ada melihat terus atau menoleh secara perlahan-lahan kepada pemanggil namun untuk bersuara memang tidak mampu.

“Tangan dan kakinya seperti kejung dan tidak boleh digerakkan maka setiap hari saya akan mengurutnya dengan harapan keadaan itu akan pulih,” katanya.

Sarimah berkata, pihak hospital tidak memberi jaminan bahawa anaknya akan pulih seperti biasa dan jika pulih sekalipun, ia mengambil masa lama.

Kepada mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Sarimah Mat Ail iaitu 0308041100003846.

Kanak-kanak malang itu menerima kunjungan dari badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) yang turut menyerahkan sumbangan makanan harian dan lampin pakai buang.

Presidennya, Pui Tiong Lam, berkata pihaknya akan membantu mendapatkan permohonan dari pihak berwajib untuk sumbangan kepada keluarga ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 6:35 AM