KEADAAN Perodua Kancil dinaiki empat mangsa maut dan dua parah. FOTO Ihsan PDRM.
Garret Dawum


EMPAT lelaki maut, manakala dua lagi parah apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan lori di Kilometer 52, Jalan Sri Aman-Sarikei dekat Sri Aman, pagi tadi.

Kemalangan pada 1.52 pagi menyebabkan pemandu kereta jenis Perodua Kancil itu, Mixzezly Herry dan tiga penumpang iaitu Roman Ensalit, Agustine Rentap Didi dan Dunstan Empawie tersepit dan meninggal dunia di lokasi.

Dua lagi rakan mereka iaitu Hail Sumping serta Larry Jelapang masing-masing parah di kepala dan patah kaki kanan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, semua mangsa berusia berusia antara 19 hingga 41 tahun.

Katanya, insiden dipercayai berlaku apabila lori dipandu lelaki berusia 51 tahun dari arah Sri Aman ke Sibu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung kereta mangsa.

“Pertembungan menyebabkan semua mangsa tersepit dan empat daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sri Aman dan dua yang cedera turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

“Pemandu dan kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 8:37 AM