Antara cecair rokok elektronik yang diperiksa di premis ketika serbuan KKM di seluruh negara bermula 20 Ogos lalu. Foto Ihsan KKM
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menyerbu 78 premis menjual rokok elektronik di seluruh negara selepas dikesan menjual cecairnya yang mengandungi bahan kimia nikotin kepada pelajar sekolah.

Hasil serbuan itu, sebanyak 66,988 botol cecair rokok elektronik yang dianggarkan bernilai RM1.4 juta dirampas.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan penguatkuasaan oleh KKM itu adalah hasil susulan isu tular pelajar menghisap rokok elektronik atau vape.

Menurutnya, KKM memandang serius isu dibangkitkan oleh badan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk yang tular di media sosial.

"Susulan itu, KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF), Ibu Pejabat KKM bersama Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam (Sektor Inspektorat dan Perundangan) melakukan operasi membanteras rokok elektronik di seluruh negara bermula Selasa lalu.

"Tindakan penguatkuasaan dijalankan berkaitan isu pelajar sekolah menghisap rokok elektronik dengan menggunakan peruntukan mengikut Akta Racun 1952 (Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984) iaitu kesalahan menjual cecair atau sebarang persediaan yang mengandungi nikotin sebagai bahan yang tidak didaftarkan sebagai ubat dan Akta Makanan 1983.

"Sebarang persediaan yang mengandungi nikotin adalah racun kumpulan C adalah dikawal mengikut Akta Racun 1952.

“Oleh yang demikian, pembekalan dan penjualan sebarang persediaan yang mengandungi nikotin hanya dibenarkan oleh ahli farmasi yang berlesen dan pengamal perubatan berdaftar bagi tujuan rawatan,” katanya.

Menurutnya, mengikut Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, sebarang persediaan yang mengandungi nikotin perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

Katanya, pengilangan, pemilikan dan penjualan produk yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Kesemua kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Racun 1952 dan jika didapati bersalah boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) Akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM 3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya," katanya.

Pada 20 Julai lalu, Harian Metro mendedahkan aktiviti kanak-kanak seawal usia 10 tahun yang didapati sudah ketagih menghisap rokok elektronik atau vape.

Kewujudan pelbagai jenis vape bersaiz kecil antaranya berbentuk pen, jam tangan, pemetik api, pemacu pena hingga ada antaranya bersaiz sebesar kotak mancis antara punca vape menjadi kegilaan baru murid serta pelajar sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 5:29 PM