MUHAMMAD Amsyar mahu menjual lebih 20,000 koleksi kereta mainan Hot Wheels miliknya untuk melangsaikan hutang.
Redzuan Muharam


“BERAT hati saya untuk melepaskan koleksi berkenaan kerana bukan senang mahu mendapatkannya, tetapi saya terpaksa kerana itu saja cara untuk melangsaikan hutang,” kata Muhammad Amsyar Jafri.

Muhammad Amsyar, 32, adalah pengumpul tegar kereta mainan Hot Wheels dan mempunyai lebih 20,000 koleksi di dalam simpanannya.

Koleksi kereta mainan itu dikumpul sejak 2015, namun Muhammad Amsyar mengambil keputusan untuk menjualnya dengan mengiklankan di Facebook pada 20 Ogos lalu bagi mencari individu berminat membeli barangan kesayangannya.

Menurutnya, hobi mengumpul kereta mainan itu bermula selepas beliau menetap di Michigan, Amerika Syarikat (AS) ketika mengikuti pengajian Program Khas Ortopedik.

“Sejak kecil lagi, saya meminati apa saja yang berkaitan dengan kereta termasuk mainan, namun tidak berpeluang membeli Hot Wheels pada waktu itu.

“Selepas menyambung pengajian di AS, baru saya tahu Hot Wheels menjadi ‘kegilaan’ masyarakat di sana dan mempunyai bilangan pengumpul tegar yang ramai .

“Sejak itu, timbul minat untuk memburu mainan berkenaan dan sering ke ‘flea market’ yang menjadi salah satu lubuk pengumpul Hot Wheels,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.


SEBAHAGIAN koleksi kereta mainan Hot Wheels dimiliki Muhammad Amsyar.

Menceritakan pengalaman sepanjang bergelar pengumpul, Muhammad Amsyar berkata, dia pernah membelanjakan sebanyak RM250,000 selain memandu sejauh 1,155 kilometer (km) ketika musim salji demi mendapatkan koleksi diidamkan.

Katanya, mainan itu dibeli dengan wang simpanan hasil jualan sebahagian koleksi yang ada dan sehingga kini, beliau mampu mengingati setiap satu set, lokasi serta pemilik asalnya.

“Kebanyakan koleksi saya adalah model vintaj, tetapi masih kelihatan baru kerana tidak dikeluarkan daripada kotak.

“Paling sentimental adalah set dibeli daripada seorang pemilik kedai mainan yang menjualnya kepada saya selepas perniagaannya muflis.

“Penjual berkenaan amat baik kerana turut menghadiahkan cincin kepunyaannya, tetapi dia kini sudah tiada kerana meninggal dunia akibat barah,” katanya.

Muhammad Amsyar berkata, sejak berkongsi hasratnya untuk menjual koleksi kesayangannya di Facebook, banyak kiriman mesej diterima daripada peminat Hot Wheels.

Muhammad Amsyar tidak menyangka perkongsiannya itu mendapat perhatian warganet hingga tular di laman sosial.

“Setakat ini, bukan hanya peminat di Malaysia, tetapi ada pengumpul dari Singapura, Indonesia dan Vietnam yang menghantar mesej di Facebook untuk bertanyakan harga.

“Tawaran paling tinggi diterima setakat ini adalah RM200,000 namun saya berharap ada individu sanggup membelinya dengan harga melebihi RM300,000.

“Ikutkan hati, saya tidak mahu menjualnya, tetapi masa semakin suntuk dan saya perlukan wang untuk melangsaikan hutang.

“Kalau boleh, saya mahu koleksi itu dibeli pengumpul luar dari AS, sebaiknya orang Malaysia dan benar-benar tahu menghargai Hot Wheels,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 10:07 PM