Muhammad Saufi Hassan


WUJUD pelbagai kemungkinan termasuk serangan siber berkaitan gangguan Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang (TAMS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak malam Rabu lalu.

Pakar keselamatan siber, Fong Choong Fook berkata, pihaknya tidak boleh membuat sebarang kesimpulan berkaitan gangguan berkenaan memandangkan tiada maklumat konkrit didedahkan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

“Masih terlalu awal untuk kita nyatakan gangguan yang berlaku itu adalah serangan siber kerana saya tidak mendapat maklumat yang jelas termasuk data keselamatan namun lapangan terbang sememangnya sasaran strategik untuk penggodam.

“Jika kita katakan bahawa berlaku masalah di dalam sistem, ia sudah dianggap sebagai insiden dalam keselamatan siber walau apa juga punca kepada masalah berkenaan.

“Perkara yang perlu diteliti adalah apakah gangguan itu berpunca daripada perkakasan sistem komputer yang bermasalah, sistem perisian, penyelenggaraan atau mungkin serangan siber,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Fong yang juga Ketua Pegawai Eksekutif LE Global Services Sdn Bhd (LGMS) berkata, penggodam sememangnya menyasarkan lokasi strategik atau berkepentingan di dalam sesebuah negara.

Katanya, lapangan terbang adalah salah satu daripadanya memandangkan ia jaringan perhubungan antarabangsa dan turut membabitkan keselamatan penumpang.

“Bayangkan jika penggodam berniat jahat dengan melakukan kerosakan kepada sistem maklumat penerbangan dan keadaan itu memungkinkan sebuah kapal terbang berlanggar antara satu sama lain. Ini adalah senario kritikal yang akan berlaku.

“Jika serangan itu mahu melihat keupayaan sistem teknikal lapangan terbang, penggodam akan melakukan kacau ganggu di bahagian perisian dengan menukar waktu penerbangan, pintu berlepas dan sebagainya. Itu sudah cukup memberi kesan besar kepada sesebuah negara,” katanya.

Namun, katanya, terlalu awal untuk menyatakan ia adalah serangan siber memandangkan MAHB tidak mendedahkan lagi butiran lanjut masalah perkomputeran yang dihadapi mereka.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu terlalu bimbang kerana sudah pasti MAHB melaksanakan langkah khusus untuk menyelesaikan insiden berkenaan.


MAKLUMAT penerbangan dipaparkan secara manual di papan putih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 6:25 AM