ANGGOTA bomba memadam kebakaran kawasan belukar dan hutan bertanah gambut di Kampung Pekajang yang dipercayai akibat cuaca panas dan kering.
Mary Victoria Dass


SERAMAI 70 anggota bomba membabitkan 12 jentera daripada 10 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) berjaya memadamkan 60 peratus daripada 16 hektar kawasan hutan terbakar di Jalan Tanjung Kupang, Kampung Pekajang, Gelang Patah di sini, semalam.

Semua anggota dan pegawai bomba dari Zon 1, Johor itu bertungkus lumus tanpa henti 24 jam sehari sejak kebakaran bermula, Rabu lalu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam kenyataan berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 jam 11.45 pagi, 21 Ogos lalu.

Katanya, ketika itu sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebelum mendapat bantuan jentera dan anggota BBP berhampiran.

Menurutnya, sehingga kini, kawasan kebakaran seluas 16 hektar dan berjaya memadamkan hampir 60 peratus dari keseluruhan kawasan itu.

Katanya, kerja pemadaman dilakukan 70 anggota membabitkan 10 balai di bawah Zon 1, Johor dan 12 jentera termasuk bantuan jentolak dari Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor dan penduduk tempatan.

“Hari ini (semalam) operasi dipertingkatkan dengan pembinaan fire break iaitu mewujudkan parit berair bagi mengelak api marak ke kawasan lain di samping pemadaman dijalankan di kawasan kebakaran.

“Operasi pemadaman api bagaimanapun belum ditamatkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:11 AM