Siti A’isyah Sukaimi


OPERASI perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjalan lancar seperti biasa selepas beberapa hari dilaporkan berdepan kesukaran.

Tinjauan Harian Metro seawal jam 7 pagi mendapati, bilangan petugas ‘Airport Care Ambassadors’ yang memakai vest hijau sebelum ini ditempatkan di terminal bagi membantu penumpang juga dilihat berkurangan.

Selain itu, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan ( FIDS) utama turut berfungsi sepenuhnya dengan status terkini berbanding sebelum ini, yang mana penumpang perlu memeriksa maklumat menerusi papan kenyataan putih ditulis secara manual.

Pada masa sama, kaunter daftar masuk bagasi juga berjalan lancar dan tidak sesak berbeza ketika masalah sistem berlaku apabila pergerakan penumpang dilaporkan sesak di terminal.

Difahamkan, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan mengeluarkan kenyataan terkini mengenai situasi itu, tengah hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin dilaporkan berkata, masalah gangguan sistem dialami di KLIA sejak Rabu lalu disebabkan kegagalan rangkaian.

Beliau dipetik berkata, sebagai langkah penyelesaian, MAHB sudah menggantikan perkakasan rangkaian berkenaan yang ketika ini sedang diuji dan dipantau kestabilannya.

Menerusi kenyataan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) malam tadi memaklumkan, tiada sebarang aktiviti serangan siber dikesan setakat ini susulan insiden gangguan teknikal di KLIA, sejak Rabu lalu.

NACSA memaklumkan siasatan awal dilaksanakan MAHB mendapati, kejadian disebabkan kegagalan perkakasan rangkaian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 10:53 AM
OPERASI kaunter daftar masuk KLIA pulih selepas mengalami gangguan sistem sejak 22 Mac lalu. FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR