BAYI ajaib, Farah Hanis di samping ibunya Kamareeah.
Siti Rohana Idris


“SEJAK dua minggu lalu, Farah Hanis sudah menjadi ‘anak perempuan’ saya,” kata Dr Siti Nur Aqilah Mohd Khairul Adnan, 32.

Dr Siti Nur Aqilah kini menjadi ibu susuan kepada bayi ajaib, Farah Hanis Fairol Haziri kini berusia tiga bulan yang dilahirkan melalui pembedahan selepas ibunya koma ketika hamil sejak Disember tahun lalu kerana menghidap ketumbuhan di kepala.

Menurutnya, dia tergerak hati untuk membantu Farah Hanis selepas mengetahui kisah bayi itu yang tidak sempat merasa susu ibu berikutan ibunya, Kamareeah Arwae, 36, koma sejak dari tempoh kehamilan lagi melalui akhbar.

Beliau yang bertugas di Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh, di sini, berkata, semua itu dilakukan atas rasa keibuan kerana sejak dilahirkan sehingga berusia tiga bulan bayi itu tidak pernah merasa setitik susu ibu.

“Saya menyuarakan hasrat itu kepada suami namun dia meminta saya bersabar seketika, namun pada masa sama saya turut berhubung dengan bapa Farah Hanis untuk meminta kebenarannya (memberi susu).


DR Siti Nur Aqilah.

“Mengenangkan sudah dua bulan bayi itu hanya minum susu formula, Alhamdulillah, hasrat saya dipersetujui oleh suami,” katanya yang turut mempunyai seorang bayi lelaki berusia lima bulan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Hari Keluarga Penyusuan sempena sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2019 peringkat Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, semalam.

Dr Siti Nur Aqilah adalah antara 150 peserta yang menghadiri program berkenaan yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Operasi HUSM, Prof Dr Mohd Imran Yusof.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang bayi perempuan berjaya dilahirkan melalui pembedahan selepas ibunya koma ketika hamil sejak Disember tahun lalu kerana menghidap ketumbuhan di kepala.

Dari seawal usia dua bulan dalam kandungan, bayi itu hanya bergantung pada susu dimasukkan melalui tiub dari leher ibu, Kamareeah yang koma selepas mengalami kejang dan sawan berikutan tumor semakin membesar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 11:44 AM