POKOK buah melaka mempunyai kandungan vitamin C paling tinggi. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Hilmie Hussin


MELALUI pembacaan di Internet, anak gadis ini mendapati kandungan vitamin C dalam buah melaka adalah paling tinggi berbanding buah-buahan lain, lalu terdetik di hatinya untuk memilih buah terbabit sebagai projek tahun akhir di Politeknik Merlimau, Melaka (PMM).

Izzati Hamidah Sharil, 21, berkata, sebaik menyedari kandungan tinggi itu, terlintas di hatinya sejarah nama negeri Melaka.

“Apabila terlintas sejarah terciptanya nama Melaka daripada buah melaka, tempat Parameswara berteduh, saya yakin yang buah ikonik ini ada potensi besar untuk dimajukan sebagai kosmetik,” katanya ketika dihubungi.

Graduan Diploma Perkhidmatan Makanan (Amalan Halal), PMM ini berkata, dia bersama tiga lagi rakan, Hamidah Noor Md Yusoh, Nur Najihah Jumirin dan Nurul Izzati Salim, semua berusia 21 tahun memutuskan untuk menjalankan kajian ke atas buah melaka.

Katanya, projek terbabit dipantau pensyarah, Hamidah Md Yusoh yang menyelia penghasilan produk daripada buah melaka.


IZZATI Hamidah

Tambahnya, dia memetik buah melaka di Merlimau untuk dijadikan bahan uji kaji.

“Saya mendapat kerjasama dua kilang di Halal Hub Merlimau, Melaka dan bagi permulaan, saya bawa buah melaka untuk mengkajinya sebelum ke satu lagi kilang bagi mengekstrak buahnya.

“Saya gunakan kaedah pemanasan perlahan untuk mengurangkan risiko kehilangan vitamin C dalam buah dan menerima nasihat berkaitan cara menghasilkan serum, mencampurkan ekstrak buah melaka dengan minyak kelapa dara,” katanya.

Justeru, terhasil satu produk kosmetik menggunakan jenama Mbilica Oil berasaskan nama botani buah melaka, Phyllanthus Emblica.

Menurutnya, dia dan ahli kumpulannya mula mengedarkan serum terbabit kepada 10 penuntut PMM yang dijadikan testimoni dan mendapatkan maklum balas.

Katanya, 10 penuntut itu berdepan masalah kulit seperti muka berjerawat, berjeragat dan banyak parut.


MBILICA Oil produk kosmetik berasaskan campuran ekstrak buah melaka dengan minyak kelapa dara. FOTO fail NSTP

“Daripada 10 testimoni individu yang menggunakan produk ini, sembilan memberi maklum balas positif apabila jerawat berkurang, parut jerawat mula hilang serta kulit muka berbalam pudar seawal empat hari penggunaan,” katanya.

Menurutnya, produk yang sudah setahun dihasilkan itu mendapat hak cipta.

Projek Mbilica Oil yang dihasilkan Izzati Hamidah, Hamidah Noor, Nur Najihah dan Nurul Izzati itu menggondol pingat emas Anugerah Inovasi Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH) 2018, selain pingat sama diraih pada Anugerah Memperkasa dan Membudaya Inovasi (Perkaya) sempena bulan Inovasi Politeknik Merlimau 2018.

Dua lagi pingat emas dimenanginya pada Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan di Eduinnovation 2018 yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa di International Invention & Innovative Competition (InIIC) Series 1/2019 di Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 6:15 AM