JANE menceritakan kisahnya ditipu bekas suami kepada wartawan. FOTO Aswadi Alias
Mohd Jamilul Anbia Mohd Denin dan Mahaizura Abd Malik


“SEGALANYA tampak manis di awal perkahwinan sebelum saya menyedari hantaran pernikahan membabitkan barang kemas mewah bernilai RM1 juta itu adalah palsu,” kata seorang ahli perniagaan wanita yang mahu dikenali sebagai Jane, 53.

Dia yang juga bekas peserta sebuah rancangan realiti televisyen mendakwa hanya mengetahui penipuan itu selepas melakukan pengesahan ujian ketulenan semua barang kemas berkenaan di Jabatan Kimia.

Menurutnya, episod dukanya bermula selepas dia berkenalan dengan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk, selain membantu lelaki terbabit mendapatkan tender projek kerajaan bernilai RM75 juta.

“Perkenalan kami bermula sejak 2005 atas dasar hubungan profesional. Saya dilantik sebagai pembantu guaman bebas bagi membantu lelaki itu mendapatkan tender kerajaan bagi sebuah projek dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

“Dengan bantuan saya, akhirnya syarikat milik lelaki itu berjaya memperoleh tender berkenaan. Mengikut perjanjian, saya akan diberikan komisen RM2 juta,” katanya.

Dia berkata, lelaki terbabit meluahkan perasaan dan melamarnya selain berjanji untuk membelikan kediaman.

“Selepas rumah dijanjikan siap diubah suai dalam tempoh dua tahun, lelaki itu melamar saya sebagai isterinya.

“Disebabkan kedua-dua orang tua saya menetap di United Kingdom, segala urusan pernikahan dibincangkan lelaki itu bersama nenek saya di Singapura.

“Dia menawarkan hantaran sebanyak RM100,000 selain barangan kemas bernilai hampir RM1 juta. Kami akhirnya bersetuju untuk melangsungkan perkahwinan dua tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, dia bagaimanapun mengesyaki suaminya tidak jujur apabila berkelakuan mencurigakan.

“Bukan sekadar bermain kayu tiga dengan wanita lain, malah siasatan dilakukan mendapati dia mempunyai isteri lain sebelum ini.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu memalsukan butiran maklumat dalam borang permohonan nikah di pejabat agama dengan mengaku dirinya duda,” katanya.

Menurut Jane, sikap tidak jujur lelaki itu semakin terbongkar sedikit demi sedikit selepas mereka berumahtangga.


JANE menunjukkan surat tuntutan ganti rugi ke atas bekas suaminya. FOTO Aswadi Alias

“Tidak tahan sering dipermainkan, saya membuat permohonan cerai di Mahkamah Syariah Gombak dengan tuntutan kerugian atas penipuan dilakukan suami.

“Malah, saya mula curiga terhadap barang kemas yang dijadikan hantaran dan hadiah perkahwinan kepada saya sebelum ini,” katanya.

Susulan itu dia bertindak menghantar barang kemas berjenama terkenal membabitkan cincin berlian, rantai leher beserta loket, sepasang anting-anting dan rantai tangan emas itu bagi menjalani ujian kimia baru-baru ini.

“Saya terkejut apabila ujian kimia di salah sebuah makmal bertauliah di Setapak mengesahkan semua barangan kemas itu bukannya emas tulen tetapi logam perak dan tembaga.

“Ujian dilakukan menggunakan peralatan ED-XRF (Non-Destructive Test) oleh pakar yang turut mengeluarkan laporan dokumen rasmi,” katanya.

Dia berkata, ujian makmal turut dilakukan terhadap ketulenan berpuluh batu berlian yang ditatah pada rantai dan cincin dihadiahkan kepadanya di makmal Global Gemological Laboratory Sdn Bhd.

“Saya sekali lagi terkejut apabila mendapat tahu semua batu berlian itu bukan asli sebaliknya adalah berlian sintetik Cubic Zirconia.

“Malah saya turut pernah mendapatkan perakuan dari syarikat pemilik jenama barangan kemas terhadap ketulenan dan nilai sebenar barang kemas menyerupai produk keluaran jenama terkemuka itu,” katanya.

Selain itu dia turut memaklumkan bahawa cek hantaran RM100,000 yang diperolehi sebelum ini turut gagal ditunaikan.

“Saya yang kecewa dengan perkara itu bertindak membuat laporan di Balai Polis Ampang sebelum dinasihati mengambil tindakan sivil di mahkamah,” katanya yang sudah diceraikan dengan talak satu.

Menurutnya, dia kini dalam proses membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi Syariah, selain saman ganti rugi di Mahkamah Sivil dengan menggunakan khidmat lapan peguam.

“Semua bukti penyelewengannya sudah saya kumpulkan. Prosiding kes di Mahkamah Tinggi Syariah akan mula dibicarakan tidak lama lagi atas isu bayaran hutang perkahwinan dan pemberian hantaran palsu.

“Malah prosiding kes sivil atas pembayaran komisyen yang tidak dibayar turut dilakukan.

“Saya cuma mahu mendapatkan hak saya dan beri pengajaran kepada lelaki itu supaya jangan mempermainkan wanita, agama dan undang-undang.

“Saya juga tidak mahu wanita lain menjadi mangsa seperti saya,” katanya.


HUSHIM Salleh. FOTO Mohamad Asraf Bin Awaluddin

Wanita murung bakal suami sedia hantaran RM3,000

JUMLAH wang hantaran dijanjikan tidak ditepati pihak lelaki, menyebabkan majlis perkahwinan dirancang tidak dapat dilangsungkan.

Ia akhirnya mengakibatkan pasangan wanita mengalami tekanan emosi melampau dan kemurungan.

Pakar motivasi dan kaunseling Hushim Salleh berkata, situasi berkenaan antara satu contoh kes penipuan hantaran yang berlaku tahun lalu masih dikendalikannya sehingga kini.

“Pasangan itu mengikat tali pertunangan selepas hampir dua tahun mengenali hati budi masing-masing.

“Pihak lelaki berjanji memberikan wang hantaran RM10,000, namun pada hari pernikahan dia hanya mampu menyediakan RM3,000 saja.

“Majlis pernikahan itu bertukar kecoh dan kesudahannya pihak wanita membatalkan pernikahan itu atas dasar berasa tertipu dan hilang kepercayaan kepada lelaki itu,” katanya.

Menurutnya, kes seumpama itu jarang berlaku namun mengakui kesannya amat mengganggu emosi dan psikologi wanita.

Selepas peristiwa itu, katanya, keluarga wanita terbabit merujuk kes itu kepada pihaknya bagi menjalani sesi kaunseling dan rawatan pemulihan.

“Ketika ditemui, wanita berusia pertengahan 20-an dalam keadaan tertekan dan kemurungan kerana berasa malu dan tidak dapat menerima hakikat dengan apa yang menimpanya.

“Kehidupan dan kerjayanya juga sedikit terganggu kerana asyik menyendiri. Wanita itu sudah melalui lima sesi kaunseling dan semakin menunjukkan perubahan positif,” katanya.

Beliau berkata, dalam konteks kaunseling, kes seumpama itu tidak boleh ditangani dengan proses biasa tetapi memerlukan rawatan pemulihan dan sesi kaunseling untuk beberapa jangka masa tertentu.

“Kejadian macam ini boleh memberikan kesan emosi atau psikologi berpanjangan kepada mangsa jadi ia tidak hanya boleh dirawat dengan kata-kata semangat macam selalu.

“Jadi biasanya kita akan fokus kepada dua perkara iaitu mendengar segala luahan mangsa sebelum mencadangkan alternatif rawatan.

“Rawatan pemulihan dan kaunseling ini jika dilalui mengikut tempoh masa ditetapkan, ia memang berkesan menstabilkan emosi dan paling penting mangsa mampu berfikir secara rasional serta membina keyakinan diri semula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 10:00 AM