KUALA LUMPUR 18 OGOS 2019. Jalur Gemilang dipasang di jalan Lengkungan Budi, Universiti Malaya menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke 62 pada 31 Ogos ini. NSTP/MUSTAFFA KAMAL.


PUSAT pameran, jualan dan servis kenderaan di Sungai Isap di Kuantan, yang didapati memasang Jalur Gemilang terbalik, baru-baru ini, dikompaun RM500.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal, berkata selain itu, surat amaran turut diberikan kepada pihak pengurusan premis terbabit untuk memastikan insiden berkenaan tidak berulang.

Katanya, MPK juga mengesahkan menerima surat tunjuk sebab dari pusat terbabit seperti yang diarahkan.

“Berdasarkan kesalahan dilakukan pihak pengurusan premis itu, MPK mengenakan kompaun RM500 dan memberi surat tunjuk sebab kepada pusat terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, tersebar di media sosial mengenai pemasangan dua bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik sebelum ia disedari pemilik premis yang bertindak menurunkannya.

Tindakan itu, bagaimanapun, mendapat kritikan hebat netizen, sebelum syarikat itu mengeluarkan kenyataan permohonan maaf menerusi laman sosial Facebook (FB) rasmi mereka.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abdul Rahim Muda berkata, dalam syarat lesen pihak berkuasa tempatan (PBT), ada dinyatakan bahawa pelesen atau pemilik premis perlu memasang bendera Jalur gemilang dan bendera negeri sempena Hari Kebangsaan atau Hari Keputeraaan Sultan Pahang.

“Pemilik premis perniagaan juga boleh dikompaun maksimum RM500 atas kesalahan atau digantung lesen perniagaan jika gagal berbuat demikian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 12:55 PM