LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam mengenai pelajar maut akibat menggantung diri di dalam bilik mandi rumahnya.
Hadzlihady Hassan


REMAJA yang maut selepas menggantung diri dalam bilik air di rumahnya, kelmarin disifatkan sebagai pelajar yang baik dan tidak mempunyai masalah di sekolah.

Guru sekolahnya yang enggan dikenali berkata, pemeriksaan rekod kehadiran pelajar tingkatan satu terbabit di sekolah mendapati dia hanya tidak hadir sehari sejak sesi persekolahan bermula Januari lalu.

“Pelajar terbabit tidak mempunyai sebarang masalah disiplin di sekolah dan dia tidak pernah ponteng kelas atau sebagainya.

“Jika dia tertekan dengan kerja sekolah, itu tidak mungkin kerana untuk pelajar tingkatan satu, kerja sekolah diberikan guru adalah normal dan tidak terlalu membebankan pelajar,” katanya.

Menurutnya, pihak sekolah akan bertemu dan berbincang dengan guru kelas serta ibu bapa yang lebih mengetahui sikap pelajar itu.

Dalam kejadian 8 malam Sabtu lalu, pelajar terbabit yang dikatakan tertekan dengan kerja sekolah yang banyak menggantung diri dalam bilik air rumahnya di Taman Seri Relau, Paya Terubong.

Dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Guru sekolah pelajar terbabit sebelum ini ada menghubungi ibu bapanya dan memberitahu yang dia tidak menyiapkan kerja sekolah diberi.

Berita berkaitan

'Gantung diri 'homework' banyak'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 3:16 PM