A AIDA mahu kes penipuan pelaburan itu memberi pengajaran kepada semua orang. FOTO Aswadi Alias
A AIDA mahu kes penipuan pelaburan itu memberi pengajaran kepada semua orang. FOTO Aswadi Alias
Sudirman Mohd Tahir


“TERIMA kasih kepada polis kerana berjaya memberkas individu itu sekali gus menyelesaikan masalah ini,” kata penerbit terkenal, Datuk A Aida berhubung kes penipuan wang pelaburan lebih RM200,000 pada awal Mac lalu.

Aida berkata, dia berharap individu yang juga pelakon dikenalinya itu akan dikenakan hukuman setimpal atas perbuatan dilakukan.

Menurutnya, dia mahu kes itu memberi pengajaran kepada semua orang.

“Saya difahamkan individu itu sudah mengaku kesalahan dibuat. Jadi, kita tunggu saja hari perbicaraan dan hukuman yang bakal diberikan. Saya berharap ia setimpal dengan perbuatannya.

“Sejujurnya, saya tidak menjangka dia sanggup menganiayai dan menipu saya. Tapi tak mengapa, negara kita ada undang-undang.

“Saya difahamkan wang pelaburan itu pun sudah habis. Jadi, saya anggap bukan rezeki saya,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan individu itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, hari ini, ketika hadir memberi keterangan berhubung perkara terbabit.

Pada Jun lalu, Aida membuat laporan berhubung kehilangan wang pelaburan menerusi beberapa transaksi pemindahan.

Berita berkaitan

Pelakon ditahan kes tipu Datuk

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 9:36 PM