GAMBAR fail menunjukkan penunggang Gojek berkumpul di Jakarta Selatan menuntut hak serta kebajikan kerja yang lebih baik tidak lama dulu.
GAMBAR fail menunjukkan penunggang Gojek berkumpul di Jakarta Selatan menuntut hak serta kebajikan kerja yang lebih baik tidak lama dulu.
BERNAMA

JAKARTA: Pemandu Gojek mengancam untuk mengadakan demonstrasi di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, bagi membantah dakwaan penghinaan terhadap profesion itu oleh pengasas dan penasihat sebuah syarikat teksi Malaysia.

Menurut beberapa laporan media tempatan, yang memetik kenyataan Ketua Nasional Gabungan Aksi Roda Dua (Garda) Indonesia, Igun Wicaksono sebagai berkata mereka akan mengemukakan surat bantahan kepada Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar.

Menurut Igun, jika pihak terbabit tidak membuat permohonan maaf terbuka, mereka merancang untuk mengadakan demonstrasi dan mengepung Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada 3 September ini.

Berdasarkan satu video yang viral di Indonesia, pengasas dan penasihat Big Blue Capital (M) Sdn Bhd Datuk Shamsubahrin Ismail membuat kenyataan yang dianggap menghina pemandu Gojek dan negara Indonesia.

“Ini negara miskin, kita negara kaya. Kalau Indonesia anak muda bagus, dia tak keluar, keluar negara untuk cari kerja. Gojek hanya untuk orang miskin seperti di Jakarta,” menurut petikan video itu.

Diasaskan oleh Nadiem Makarim, 35, yang kini juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat rangkaian pengangkutan dan start up itu, Gojek adalah kebanggaan Indonesia, bukan hanya sekadar perkhidmatan pengangkutan penumpang menggunakan motosikal tetapi lebih dari itu.

Di Indonesia, bagi tiga bulan pertama 2019, aplikasi Gojek telah dimuat turun lebih daripada 142 juta kali, dengan lebih daripada 2 juta rakan kongsi pemandu.

Pada 2018, Gojek juga mencatatkan nilai transaksi kasar (GTV) lebih US$ 9 bilion di semua negara operasinya, dan menjadikannya kumpulan teknologi pengguna terbesar di Asia Tenggara berdasarkan GTV.

Gojek kini juga beroperasi di Singapura, Filipina, Thailand (dikenali sebagai GET) dan Vietnam (dikenali sebagai GoViet).

Baru-baru ini Menteri Belia dan Sukan Malaysia Syed Saddiq Syed Rahman mencadang memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai ojek, yang memicu pelbagai polemik.

Ditubuhkan pada 2010, Gojek menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti GoRide (perkhidmatan pengangkutan motosikal), GoCar (pengangkutan kereta seperti GrabCar), GoFood (penghantaran makanan), GoBlueBird (perkhidmatan teksi), GoBills (pembayaran bil semasa), GoMart (perkhidmatan pembelian barangan di pasar raya), GoLaundry (perkhidmatan dobi), GoAuto (perkhidmatan membaiki kenderaan) dan banyak lagi.

‘Mereka tak faham konteks’

PENGASAS dan Penasihat Big Blue Capital (M) Sdn Bhd Datuk Shamsubahrin Ismail menjelaskan kenyataan yang dibuatnya mengenai Gojek adalah berdasarkan perbezaan taraf hidup antara Indonesia dan juga Malaysia.

Menurutnya, sebelum mengeluarkan kenyataan itu beliau sudah merujuk laporan akhbar dari Indonesia yang mengatakan rakyat mereka dalam kesusahan.

Menurutnya, kenyataannya itu disalah erti berikutan beliau hanya memaksudkan Gojek adalah untuk orang yang tidak berkemampuan.

“Apa yang saya cakap Gojek tak boleh buat di sini (Malaysia) atas sebab rakyat kita tak perlukan. Rakyat kita masih berkemampuan, tak seperti Indonesia. Indonesia banyak kemiskinan.

“Mereka tak faham konteks saya dan ingat saya menghina mereka. Saya hanya pertikaikan kedudukan Gojek nak masuk Malaysia saja.

“Gaji di Indonesia rendah. B40 di sana (Indonesia) dan di sini juga berbeza. Di Malaysia B40 masih mampu menggunakan kereta dan juga pengangkutan awam yang lain, namun di sana, kebanyakan mereka hanya mampu guna Gojek saja,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan meminta maaf seperti yang dituntut, Shamsubahrin menegaskan tiada keperluan berbuat demikian.

“Saya tidak buat salah. Saya hanya buat perbandingan. Kenyataan yang dibuat itu juga adalah situasi yang berlaku di sana.

“Jadi kenapa mereka nak berdemonstrasi di kedutaan Malaysia di sana? Apa salah kedutaan kita? Apa salah kerajaan kita.

“Namun, saya akan minta maaf sekiranya rakyat Indonesia dapat membuktikan artikel yang dirujuk ketika membuat kenyataan itu adalah salah,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan pemandu Gojek di Indonesia mengancam untuk mengadakan demonstrasi di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, bagi membantah dakwaan penghinaan terhadap profesion itu.

Demonstrasi itu akan dibuat pada 3 September sekiranya tiada sebarang permohonan maaf terbuka dibuat oleh pihak yang mengeluarkan kenyataan yang menghina itu.

Terdahulu, Shamsubahrin mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina pemandu Gojek dan negara Indonesia.

Dalam kenyataan itu, beliau berkata “Kita tak nak bandar kita akan jadi macam Vietnam dan Kemboja. Ini negara-negara miskin, kita negara kaya. Anak muda kita tak merempat seperti Indonesia”.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 6:00 AM