Norizuan Shamsuddin


TUKANG rumah dijatuhi hukuman gantung di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu selepas didapati bersalah membunuh abang kepada kekasihnya yang juga kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Hafiz Mohamad, 32, dari Kampung Baloh hadir berbaju putih kelihatan tenang ketika mendengar keputusan dibacakan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Dalam penghakiman, Abdul Wahab memutuskan pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah menerusi keterangan tertuduh sepanjang prosiding.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Muhamad Shukri Husin, 37, di parkir hadapan Pejabat Agama Kompleks Seri Iman, jam 11.39 pagi pada 16 Oktober 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Mazlan Md Zain.

Harian Metro sebelum ini melaporkan anggota JPJ Pengkalan Kubor itu maut selepas ditikam kekasih adiknya di tempat letak kereta Kompleks Seri Iman.

Kejadian berlaku selepas mangsa bersama suspek dan beberapa ahli keluarga datang ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu untuk mengesahkan status perkahwinan bakal adik iparnya (tertuduh) yang mendakwa sudah bercerai.

Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati suspek masih mempunyai isteri dan lelaki terbabit kemudian menyerang mangsa dipercayai menggunakan pisau sebelum melarikan diri menaiki kereta.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dengan enam kesan tikaman termasuk di leher dan dada kiri akibat ditikam suspek menggunakan pisau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 11:17 AM
MOHD Hafiz Mohamad dijatuhi hukuman gantung selepas didapati bersalah membunuh anggota JPJ Kelantan, tiga tahun lalu. FOTO NORIZUAN SHAMSUDDIN
MOHD Hafiz Mohamad dijatuhi hukuman gantung selepas didapati bersalah membunuh anggota JPJ Kelantan, tiga tahun lalu. FOTO NORIZUAN SHAMSUDDIN