NOORZLINA yang juga OKU berdikari dengan berniaga lauk untuk menampung kos pembedahannya. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


WALAUPUN sudah enam kali gerainya dirampas pihak berkuasa, penjual nasi lauk campur di Jalan Green Hall, Georgetown, tetap meneruskan perniagaannya.

Ia berikutan peniaga berstatus orang kurang upaya (OKU) itu tiada pilihan lain menjana pendapatan bagi membiayai kos pembedahan pinggangnya.

Peniaga terbabit, Noorzlina Md Ibrahim, 41, berkata tindakannya itu menjadi tanda tanya orang ramai selepas video mengenai gerainya dirampas penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tular di media sosial, sejak petang semalam.

Katanya, gerai itu diusahakan bersama suami, Elias Osman, 52, serta dua adiknya sejak tiga tahun lalu bermula jam 8 pagi hingga 3 petang, setiap hari.

“Saya tahu perbuatan ini salah malah sudah beberapa kali memohon lesen, namun pihak MBPP mendakwa mereka sudah tidak mengeluarkan lesen sementara.

“Ramai lagi peniaga lain tidak berlesen dan mengganggu pengguna jalan raya, namun tiada tindakan diambil terhadap mereka sedangkan kami tidak mengganggu sesiapa,” katanya ketika ditemui di Georgetown, hari ini.

Mengulas lanjut, Noorzlina berkata, dia tidak tahu mengenai individu yang memuat naik video berdurasi 4 minit 55 saat itu.

Video berkenaan mendapat maklum balas warga net mendakwa MBPP tidak prihatin dengan keadaan peniaga OKU yang berdikari.

Kali pertama gerainya dirampas MBPP ialah pada Februari lalu, dua kali pada Jun dan tiga lagi pada bulan ini.

Noorzlina berkata, sehingga kini dia sudah menjalani 16 pembedahan berikutan mengalami patah tulang pinggang sejak 10 tahun lalu.

Kini Noorzlina hanya menunggu panggilan daripada pihak hospital bagi mendapatkan tarikh menjalani dua lagi pembedahan susulan.

“Kami tidak mengganggu lalu lintas dan banyak lagi gerai di sini, kenapa hanya gerai saya sahaja ‘diangkut’ sedangkan kami amat menjaga kebersihan persekitaran.

“Hikmah video ini tular, hari ini saya tidak menang tangan menyiapkan tempahan lauk pauk kerana sudah dikenali,” katanya yang tinggal di Flat Uda, Tanjong Tokong.

Noorzlina sudah membuat laporan berhubung kejadian itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada 26 Ogos, iaitu pada hari yang sama kejadian terbabit berlaku.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBPP ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menyiasat perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 4:16 PM