NAJIB keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
Murni Wan Omar


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk mempengaruhi ahli lembaga 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjalankan transaksi tidak normal bagi kepuasan diri sendiri dan berjaya melakukannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata demikian ketika membacakan pernyataan pembukaan kes membabitkan Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menurut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Menurutnya, pendakwaan akan membuktikan bahawa Najib memainkan peranan penting dalam menukar nama Terengganu Investment Authority (TIA) kepada 1MDB dan menempatkan dirinya dalam kawalan tunggal bagi perkara penting dalam perniagaan dan hal ehwal syarikat itu.

“Ada beberapa watak memainkan peranan, tetapi adalah tertuduh (Najib) yang memainkan peranan penting dan objektifnya adalah untuk kayakan dirinya.

“Walaupun kes ini merangkumi empat fasa, peristiwa yang berlaku adalah drama bersiri yang dirancang tertuduh bagi mendapatkan kemewahan bagi dirinya.

“Karakter penting dalam kes ini adalah Jho Low, lelaki yang melarikan diri daripada sistem keadilan.

“Dia terbabit dengan TIA dan kemudian 1MDB. Pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa Jho Low adalah alter ego dan bayangan kepada tertuduh,” katanya.

Sri Ram berkata, pendakwaan akan membuktikan bahawa Jho Low dan tertuduh bertindak sebagai satu di semua masa material.

“Bagi empat pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pihak pendakwaan akan membuktikan melalui keterangan langsung dan mengikut keadaan bahawa tertuduh dalam kapasitinya sebagai Timbalan Perdana Menteri, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mengambil langkah dengan berbuat sesuatu menyebabkan sebahagian daripada dana 1MDB dimasukkan ke dalam akaunnya.


BAHAN bukti dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaran kes 1MDB.

“Tertuduh menggunakan kedudukannya untuk kepuasan diri. Dalam setiap fasa itu, tertuduh bertindak sebagai satu bersama Jho Low,” katanya.

Menurutnya, fasa pertama adalah membabitkan senario di mana usaha sama yang dicipta tertuduh (bertindak melalui Jho Low dan individu yang dikenali sebagai Tarik Obaid).

“Ia adalah usaha sama palsu antara 1MDB dengan syarikat PetroSaudi International Ltd atau PSI. Ia dipanggil Projek Aria.

“1MDB meminjam AS$1 bilion kononnya untuk melabur dalam syarikat 1MDB Petro Saudi Ltd. Wang itu sepatutnya dibayar ke dalam akaun bersama syarikat usaha sama itu.

“PetroSaudi International memperoleh 60 peratus saham dengan menyuntik beberapa aset melalui nilai yang meragukan. Wang AS$1 bilion itu mewakili sumbangan 1MDB kepada 40 peratus pegangan sahamnya,” katanya.

Sri Ram berkata, usaha sama itu tidak dimasuki dengan PSI sebaliknya melalui syarikat PetroSaudi Holding (Cayman) Ltd dan Tariq Obaid melaksanakan perjanjian bagi mewakili Petro Saudi (Cayman).

“Kami akan mengemukakan bukti menunjukkan bahawa usaha sama yang dilakukan adalah tidak normal dan hanya mahu menyedut wang 1MDB bagi faedah tertuduh.

“Melalui keterangan lisan, kita akan buktikan bahawa AS$700 juta daripada AS$1 bilion tidak dibayar kepada syarikat usaha sama, tetapi dialihkan kepada tertuduh melalui syarikat Good Star Ltd yang tiada kena-mengena dengan usaha sama ini,” katanya.

Menurutnya, syarikat itu diperbadankan di Seychelles pada 18 Mei 2009 dan dimiliki serta dikawal Jho Low.

“Pembayaran kepada Good Star dibuat secara tergesa-gesa dan tanpa kelulusan daripada Lembaga Pengarah 1MDB serta bercanggah dengan hala tuju syarikat.

“Pihak pendakwaan akan melalui dokumen menunjukkan bahawa pinjaman itu adalah palsu bagi menjustifikasikan pembayaran kepada Good Star,” katanya.

Menurutnya, sejumlah AS$700 juta dikeluarkan oleh Good Star dan diagihkan kepada beberapa individu termasuk Putera Faisal, Jho Low dan Putera Turki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 5:40 AM