FOTO hiasan
Irwan Shafrizan Ismail


UJIAN Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019 akan dijalankan pada 4, 5, 10, 11 dan 12 September ini.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan, hari ini, berkata seramai 445,641 calon sudah mendaftar menduduki UPSR di 8,076 pusat peperiksaan seluruh negara.

“Calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan membabitkan 434,177 calon manakala sekolah swasta pula seramai 11,464 calon.

“Seramai 53,242 petugas peperiksaan sudah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, semua calon diingatkan supaya merujuk kepada jadual waktu peperiksaan UPSR 2019 untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran perlu dipatuhi ketika peperiksaan berlangsung.

“Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun daripada laman web Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my.

“Calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri (MyKad atau MyKid atau Borang Pengenalan Diri Calon atau Surat Perakuan Pengenalan Diri) ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 10:33 AM