NEELOFA akan menyokong dan melindungi Nabila dengan keputusan dibuatnya selagi dia gembira. FOTO Nurul Shafina Jemenon


“SAYA tahu apa yang terjadi. Jadi sudah tentu orang akan bertanya akan hal ini,” kata pengacara Neelofa ketika mengulas gosip mengatakan kakaknya Noor Nabila Mohd Noor memfailkan perceraian terhadap pelakon Sharnaaz Ahmad seperti dilaporkan sebuah portal hiburan, hari ini.

Neelofa ketika ditemui berkata, dia sudah bersedia dengan segala persoalan yang bakal ditanya membabitkan rumah tangga kakaknya itu.

“Saya dan keluarga Nabila berkongsi rumah yang sama. Namun tidak adil untuk saya menjawab berkaitan isu ini.

“Cuma nak orang tahu yang saya akan menyokong dan melindungi kakak dengan keputusan ingin dibuatnya selagi dia gembira.

“Malah saya juga yakin yang ahli keluarga dan teman rapat akan turut bersama dengannya walau dalam keadaan dia susah atau senang,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran serum Advanced Genifique Lancome di Centre Court, Pavilion, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, Nabila seorang wanita yang kuat dan berdikari meskipun dia tidak berkongsi masalah dihadapi kepada ahli keluarga.

“Nabila sudah lalui banyak perkara dalam hidup. Apa yang boleh saya cakap dia seorang berdikari dan kuat.

“Dia tidak mudah tunjuk apa yang terbuku dalam hatinya. Malah dia juga tidak akan berkongsi masalah dihadapi kepada ahli keluarga tapi ada bercerita dengan kawan,” katanya.

Namun katanya, teman Nabila adalah kawannya juga dan sudah pasti dia akan dapat tahu cerita peribadinya.

“Apa yang boleh saya katakan, Nabila berhak menerima pasangan yang terbaik dari segi kehidupan kekeluargaan. Saya percaya Allah akan bantu dia,” katanya.

Sebelum ini, perkahwinan antara Sharnaaz dan Nabila dikatakan pernah berdepan masalah. Namun, perhubungan mereka dilihat semakin pulih, sejak Februari lalu.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Jebat Jayden, pada Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 9:39 PM