ANGGOTA bomba membawa mayat mangsa dengan bot di Sungai Kedah berhampiran Kampung Chegar, Alor Setar, hari ini. (Gambar kecil) Nasri. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


“SAYA hanya tahu mangsa adalah sepupu saya sebaik ternampak ibu saudara menangis di tepi sungai sewaktu tiba di lokasi untuk melakukan operasi pencarian.

“Ketika itu saya tak sedap hati dan jadi tak seronok bila dapat tahu sepupu paling rapat dengan saya masih hilang sebelum mayatnya ditemui hari ini,” kata Nasri Abdullah, 27.

Nasri adalah anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat pelajar tahfiz, Muhammad Shukri Amri Kadir, 19, yang ditemui lemas di Sungai Kedah berhampiran Kampung Chegar, Alor Setar, hari ini.

Nasri berkata, dia sedih kerana menyertai operasi mencari ahli keluarga sendiri, namun bersyukur mangsa ditemui dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas dia dilaporkan terjatuh.

Katanya, arwah seorang yang sangat baik dan kali terakhir mereka bertemu pada Aidilfitri baru-baru ini.

“Arwah seorang yang hormat ahli keluarga memandangkan dia belajar di sekolah pondok dan di Mesir dan dia saudara dari sebelah ayah saya.

“Saya reda dengan apa yang berlaku walaupun sedih dengan kehilangannya,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian hari ini.

Dalam pada itu, suasana di lokasi bertukar sedih apabila ibu mangsa tidak dapat menahan sebak dan menangis sambil beristighfar sebaik melihat wajah anaknya.

Terdahulu, sekumpulan pelajar dan guru tahfiz yang berada di situ melakukan solat hajat untuk mempermudahkan pencarian mangsa.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang pelajar lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakannya di belakang Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Muhammad Shukri Amri dipercayai tenggelam dan rakan mangsa cuba menyelamatkannya, tetapi gagal.

Berikutan itu rakan mangsa menghubungi pasukan bomba untuk memaklumkan kejadian itu.

Mayat mangsa ditemui 9.57 pagi hari ini oleh anggota PPDA melakukan selaman.

Berita berkaitan

'Mayat pelajar tahfiz dijumpai'

'Pelajar tahfiz dikhuatiri lemas'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 4:32 PM