FOTO hiasan
Mohd Husni Mohd Noor


HARGA runcit petrol RON97 turun satu sen pada harga RM2.50 seliter manakala RON95 dan diesel kekal masing-masing pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter berkuat kuasa tengah malam ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan, hari ini, berkata harga bahan api berkenaan ditetapkan bagi tempoh 31 Ogos hingga 6 September ini berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Katanya, berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh sama masing-masing sepatutnya RM2.20 seliter dan RM2.23 seliter.

“Namun, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh berkenaan adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Anggaran subsidi yang ditanggung kerajaan bagi mengekalkan harga runcit RON95 dan diesel masing-masing pada minggu berkenaan adalah RM48.84 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 5:04 PM