BAHARUDIN (kanan) menunjukkan pisau digunakan suspek ketika menikam dan mengelar suami isteri pada sidang media di IPD Shah Alam, hari ini. FOTO Norrasyidah Arshad.
Nur Lela Zulkipli


SUAMI isteri yang disumbat di dalam bagasi sebelum dicampak ke dalam longkang dipercayai dibunuh dengan kejam selepas terdapat banyak kesan tikaman dan kelar pada tubuh badan mereka.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa Lim Ah Kee, 79, ditikam tujuh kali di perut menggunakan pisau lipat selain dikelar pada malam 23 Ogos lalu di kediamannya di kondominium di Subang Jaya.

Menurutnya, mangsa dibunuh dua suspek warga India yang tinggal bersama mereka di dalam rumah berkenaan.

“Dalam kejadian 10 malam itu, mangsa dibunuh dipercayai di ruang tamu sebelum isteri mangsa, Tan Siew Mee, 52, mengetahui suaminya dibunuh selepas pulang ke kondominium berkenaan pada 2 pagi.

“Selepas Tan mengetahui suaminya dibunuh dan mayatnya dibuang, berlaku sedikit kekecohan sebelum dia turut dibunuh dengan cara sama iaitu ditikam dan dikelar sebelum disumbat di dalam bagasi berlainan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berusia 19 dan 24 tahun adalah adik beradik dan menetap di kondominium berkenaan kira-kira setahun lalu.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan di syarikat sama di Subang Jaya.

“Seorang suspek ditahan di Subang Jaya dan seorang lagi di Kota Kemuning. Kami menjumpai pisau milik suspek yang dipercayai digunakan untuk menikam kedua-dua mangsa.

“Hasil soal siasat terhadap suspek itu membawa kepada penemuan mayat Lim di dalam longkang berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Alam Megah, petang semalam.

“Kami percaya kes ini sudah selesai dengan tangkapan kedua-dua suspek yang kini dalam tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini,” katanya.

Baharudin berkata, suspek membawa bagasi berisi mayat kedua-dua mangsa menggunakan motosikal Honda EX5 untuk dibuang ke dalam longkang di dua lokasi berlainan.

Beliau berkata, tindakan pantas pegawai dan anggota IPD Subang Jaya memudahkan proses tangkapan kedua-dua suspek yang cuba untuk melarikan diri.

Pada 24 Ogos lalu, mayat Tan yang disumbat di dalam bagasi ditemui di dalam parit berhampiran Persiaran Kuala Selangor pada 6 pagi.

Mayat Lim kemudiannya ditemui dalam keadaan sama selepas enam hari dibunuh.

Mayat kedua-dua mangsa kini masih di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan masih belum dituntut oleh mana-mana pihak.

Berita berkaitan

Suspek bunuh suami isteri direman seminggu [METROTV]

Dibunuh penyewa sendiri?

Tikam 13 kali, kelar dan buang [METROTV]

Sumbat mayat wanita dalam beg

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 6:38 PM