OSMAN (dua dari kanan) memeriksa peralatan yang disita di pusat hiburan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, awal pagi hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
OSMAN (dua dari kanan) memeriksa peralatan yang disita di pusat hiburan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, awal pagi hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
Nurul Hidayah Bahaudin


BERI alasan tidak ada kunci untuk buka pintu utama.

Itu taktik pengawal keselamatan pusat hiburan untuk membolehkan pengunjung keluar dari premis menggunakan pintu belakang bagi mengelak diperiksa pihak berkuasa dalam Operasi Bersepadu Ambang Merdeka 2019 di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, awal pagi hari ini.

Malah, pengawal keselamatan itu turut melengahkan pihak berkuasa selama 15 minit dengan memberi pelbagai alasan kononnya tertinggal kunci sebelum anggota penguat kuasa membuat serbuan di pintu belakang premis berkenaan.

Pemeriksaan dalam premis terbabit mendapati semua pelanggan sudah melarikan diri menggunakan pintu belakang.

Premis terbabit antara enam pusat hiburan dikenakan tindakan dalam operasi dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama agensi lain termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia bermula 1.30 pagi tadi.

ANGGOTA penguat kuasa DBKL merobohkan sekatan atau dinding di premis yang diperiksa dalam operasi awal pagi hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
ANGGOTA penguat kuasa DBKL merobohkan sekatan atau dinding di premis yang diperiksa dalam operasi awal pagi hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail berkata, hasil pemeriksaan di lebih 20 pusat hiburan itu, pihaknya mengeluarkan kertas siasatan untuk pendakwaan terhadap enam premis selepas didapati tidak memiliki lesen premis dan lesen hiburan.

“Lima daripada enam premis itu dikenakan tindakan tutup selain peralatan digunakan untuk hiburan seperti alat muzik disita selepas didapati tidak memiliki kedua-dua lesen berkenaan.

“Tindakan itu diambil mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992 dan Seksyen 4(1)() akta sama kerana tidak memiliki lesen premis dan lesen hiburan,” katanya selepas mengetuai operasi berkenaan.

Osman berkata, AADK turut menahan lima individu termasuk dua wanita berusia 20-an hingga 30-an dalam operasi itu.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati kelima-lima individu berkenaan positif dadah jenis methaphetamin.

Katanya, semua individu berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat AADK Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 5:41 PM