GAMBAR kenangan Muhamad Saiful bersama keluarga. (Gambar kecil) Perbualan menerusi WhatsApp antara Muhamad Saiful dan isterinya. FOTO Ihsan Keluarga
Mohd Sabran Md Sani


“MEMANG saya rancang nak buat ‘suprise’ (kejutan), tapi dia yang ‘suprisekan, saya dahulu dengan berita kematiannya,” kata suri rumah, Hidayah Mohd Mokhtar, 27.

Ibu kepada empat anak berusia sembilan hingga setahun itu berkongsi kisah pilu kehilangan suaminya, Muhamad Saiful Mohd Jemain, 31, yang maut dalam kemalangan jalan raya, pagi semalam.

Paling menyayat hati, sambutan ulang tahun kelahiran Muhamad Saiful yang dirancang semalam (1 September), tidak menjadi nyata apabila ia bertukar majlis tahlil untuknya.

Berkongsi perasaan sebak, Hidayah berkata dia sudah merancang untuk membeli kek hari jadi suaminya selepas pulang dari kerja semalam.

“Biasanya, dia akan balik dan makan sebelum tidur dan ketika itulah saya akan keluar rumah untuk membelikan kek untuknya.

“Saya juga merancang untuk masak ayam ungkep kegemarannya, namun semuanya musnah selepas kehilangannya dalam kemalangan pagi semalam,” katanya ketika dihubungi di Batu Pahat, hari ini.

Katanya, kali terakhir dia menghantar suaminya ke Bandar Batu Pahat pada 10 pagi kelmarin.

“Dia bersama abang kandung saya, Mazlan Mohd Mokhtar, 37, pergi ke Johor Port di Johor Bahru untuk mengambil bekalan ikan.

“Perjalanan mereka kemudian diteruskan ke Melaka dan Selayang sebelum pulang semula ke rumah pagi semalam,” katanya yang tinggal di Kampung Melayu Parit Sulong.

Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan kemalangan membabitkan dua individu itu pada 7 pagi, selain tidak dimaklumkan keadaan mereka.

“Saya kemudian mandi dan bergegas ke lokasi kejadian sebelum melihat keadaan suami sudah tidak bernyawa dengan tubuhnya ditutupi kain.

“Ketika itu, abang kandung yang mengalami kecederaan dibawa ke dalam sebuah ambulans,” katanya.

Katanya, seminggu sebelum kejadian arwah suaminya tidak banyak bercakap, selain meluangkan banyak masa bersama anak-anak meskipun penat.

“Biasanya dia kurang membawa anak-anak berjalan, tetapi sebelum kejadian itu situasi berlaku sebaliknya,” katanya.

Katanya, arwah suaminya baru tiga bulan bekerja dengan syarikat itu, selain pernah bekerja sebagai pemandu lori di sebuah kilang plastik di Taman Seri Sulong di Batu Pahat.

Katanya, arwah suaminya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 14, Bakri, Muar.

Akhbar ini melaporkan dua pemandu lori maut, manakala dua kelindan cedera selepas kedua-dua lori itu bertembung dalam kemalangan di Jalan Pagoh-Parit Sulong, Batu Pahat, semalam.

Kejadian 6.50 pagi itu mengakibatkan pemandu lori Scania, Muhamad Saiful dan pemandu lori ais, Tio Lian Seng, 46, maut di tempat kejadian.

Kelindan lori Scania, Mazlan Mohd Mokhtar, 37, patah tangan kiri, manakala kelindan lori ais warga Bangladesh yang tidak diketahui identitinya lagi turut cedera.

  • Dua maut, lori bertembung
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 1:22 PM