TANDAS awam di Tugu Negara, Jalan Parlimen, Kuala Lumpur yang menjadi lokasi pembuangan bayi lelaki. FOTO Ihsan Polis.
TANDAS awam di Tugu Negara, Jalan Parlimen, Kuala Lumpur yang menjadi lokasi pembuangan bayi lelaki. FOTO Ihsan Polis.
Khairul Najib Asarulah Khan


POLIS menahan peserta kursus warga Samoa, dipercayai membuang bayi lelaki baru dilahirkannya dalam tandas awam di Tugu Negara, Jalan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

Mayat bayi yang masih bertali pusat ditinggalkan di dalam tong sampah di tandas awam itu, sebelum ditemui seorang wanita pada 2.47 petang, yang kemudian menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, sepasukan pegawai dan anggota ke lokasi mendapati bayi ditinggalkan dalam keadaan dibalut kain selendang.

“Kita terima maklumat kehadiran sekumpulan pelawat yang ke tandas itu dan hasil siasatan berjaya mengesan ibu bayi itu, warga Samoa ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Setia Alam, Shah Alam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Fahmi berkata, dia tiba di negara ini, semalam untuk mengikuti kursus yang diadakan di institut kesihatan di Shah Alam dan dibawa melawat Tuga Negara pada tengah hari.

“Dia ditahan dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Mayat bayi turut dibedah siasat di hospital sama,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 9:01 PM