BERSYUKUR majlis berjalan lancar walaupun persiapan dilakukan hanya dalam tempoh 2 bulan. FOTO: Aziah Azmee

Syanty Octavia Amry

[email protected]

BERKALI-KALI lamarannya ditolak namun kata orang usaha itu tangga kejayaan dan kalau sudah jodoh tidak ke mana.

Begitulah juga dengan ikatan cinta pasangan pelakon, Nadzmi Adhwa, 27, dan Ardell Aryana, 29, yang akhirnya bersatu sebagai suami isteri pada 1 Muharam (1 September) lalu selepas lapan tahun berkenalan.

Sama cantik sama padan, keikhlasan Nadzmi meruntun jiwa Ardell yang pada awalnya hanya selesa sebagai kawan dan akhirnya Ardell sendiri merisik serta mengajak Nadzmi berkahwin.

Bagaikan orang mengantuk disorong bantal, pasangan yang mula rapat ketika sama-sama terbabit dalam drama bersiri Namaku Bedah pada 2015 itu sepakat melakukan persiapan dalam tempoh dua bulan saja.

Bersyukur segalanya berjalan lancar, dengan sekali lafaz Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin sah menjadi isteri Nadzmi Adhwa Nor Adzmi.

“Alhamdulillah saya bersyukur segala yang dirancang berjalan lancar walaupun persiapan dilakukan hanya dalam tempoh dua bulan.

“Selama ini ramai yang mendoakan jodoh kami dan doa mereka dimakbulkan. Saya juga tidak menyangka jodoh kami kuat sehingga masing-masing bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan,” katanya.


BERSAMA keluarga selepas majlis akad nikah.

Pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid al-Muttaqin, Ustaz Mohd Hafiza Hafiz Baharuddin di rumah Ardell di Seri Kembangan, Selangor.

Ardell menerima dua dulang hantaran dibalas dua dan senaskhah al-Quran sebagai wang hantaran manakala mas kahwin RM300.

Berkongsi mengenai perasaannya yang terbuka untuk menerima Nadzmi, Ardell berkata, dia tersentuh melihat keikhlasan Nadzmi yang setia bersamanya dalam keadaan susah dan senang.

Katanya, Nadzmi kawan bermain futsal dan disebabkan dia muda daripadanya, perasaan itu lebih kepada menganggapnya sebagai adik. Lagipun, dia pernah kecewa, jadi takut untuk bercinta lagi.

“Tetapi apabila melihat dia sanggup menunggu dan sentiasa ada ketika susah dan senang, sedih dan kecewa saya cuba menerimanya perlahan-lahan.

“Walaupun sebelum ini sudah banyak kali dia melamar, bukan kerana saya tidak mahu tetapi perasaan bercampur baur antara takut dan suka.

“Dek sedar terlalu banyak kekurangan pada diri dan memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri itu bukanlah mudah, saya bimbang tidak mampu melaksanakannya dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Nadzmi pula berkata, apabila Ardell menerima lamarannya tanpa meletakkan sebarang nilai wang hantaran dan hanya senaskhah al-Quran ia sesuatu yang sangat mahal dan begitu berharga.


PASANGAN bersama keluarga.

“Ardell tidak meminta wang hantaran sebaliknya al-Quran yang sebelum ini dia pernah berikan dan minta saya khatamkan serta memahami maksudnya. Al-Quran ini kemudian saya berikan kepadanya semula sebagai hantaran.

“Bagi saya, ia perkara yang sangat bernilai dan paling mahal di dunia. Ardell wanita luar biasa dan perkara terbaik dalam hidup saya,” katanya.

BULAN MADU KE MAKKAH, BELUM TETAP TARIKH RESEPSI

Berkongsi mengenai majlis resepsi, pasangan itu belum menetapkan sebarang tarikh tetapi berharap ia dilaksanakan dalam tahun ini.

“Sebenarnya kami sendiri tidak menyangka akan bernikah secepat ini dan pada tahun ini. Namun, saya yakin perancangan Allah adalah terbaik.

“Walaupun persiapan pernikahan tidak lama, ia berjalan lancar berkat sokongan dan bantuan ahli keluarga. Selepas bernikah saya akan mula sibuk berlatih untuk menunaikan misi kemanusiaan ke Yaman dan Syria pada November ini.

“Insya-Allah kalau tiada halangan saya berharap resepsi dapat diadakan pada Oktober,” kata Ardell.

Belum merancang bulan madu, namun pasangan itu bakal mengerjakan umrah hujung tahun nanti.

“Kami tidak ada perancangan berbulan madu namun berhasrat menunaikan umrah dan menganggapnya sebagai bulan madu.

“Selesai misi kemanusiaan, kami akan pergi umrah. Saya perlu melunaskan misi ini dulu kerana ia sudah dirancang sebelum kami bernikah,” kata Ardell.

Dalam pada itu, mereka masing-masing tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menimang cahaya mata.

“Kami tidak merancang mengenai anak, cepat atau lambat terima saja dengan hati terbuka,” kata Nadzmi pula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 5:25 AM