AZIZ memerhatikan Firdaus (tiga dari kanan) bersama rakan membuat persiapan menjelang UPSR.
AZIZ memerhatikan Firdaus (tiga dari kanan) bersama rakan membuat persiapan menjelang UPSR.
Noorazura Abdul Rahman

KUBANG PASU: Persediaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi seorang murid mualaf berketurunan Tionghua ini sedikit berbeza apabila dia memilih mengulang kaji pelajaran bersama datuk angkatnya.

Mohammad Firdaus Hong Abdullah, 12, berkata, datuk angkatnya Aziz Isa, 61, di Kampung Pulau Timbul, sangat membantunya dalam soal pelajaran selain memantaunya menunaikan solat wajib lima waktu.

Setiap hari, Aziz dan bapanya Lim Hun Kheng, 44, bergilir-gilir menghantar dan menjemputnya di sekolah termasuk kelas tambahan pada sebelah petang.

“Apabila UPSR semakin hampir, saya kerap tinggal di rumah datuk. Dia boleh mengajar saya semua subjek termasuk membantu saya menunaikan solat sunat.

“Malah datuk juga mengajar saya berdoa dan membaca surah Yasin sebagai persediaan untuk saya menghadapi peperiksaan. Alhamdulillah hati saya lebih tenang terutama selepas saya dapat mengingati semua bacaan dalam solat Julai lalu,” katanya yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Hakim Teh, Kubang Pasu.

Sementara itu, Aziz yang juga pesara Pejabat Pendidikan Daerah Kubang Pasu berkata, dia memperuntukkan masa lebih sejam membantu Firdaus atau nama asalnya Lim Ching Hong mengulang kaji.

Selepas menunaikan solat Maghrib, dia menghantar Firdaus mengaji al-Quran sebelum mengulang kaji pelajaran pada jam 9 malam.

“Saya tidak terlalu menekan Firdaus untuk mendapat A dalam semua subjek. Dia sedang mendalami agama dan pada masa sama mahu menduduki UPSR, saya menasihatinya supaya bersederhana dan yang penting jangan tinggalkan solat.

“Firdaus kanak-kanak yang cepat belajar dan menghormati orang tua, saya gembira dapat membantunya walaupun kami berlainan bangsa,” katanya yang menjadi datuk angkat Mohammad Firdaus sejak empat tahun lalu.

Pada Mei lalu, Harian Metro melaporkan perbezaan agama tidak menghalang seorang bapa berketurunan Cina di Tunjang mengejutkan anak sulungnya beragama Islam bangun bersahur setiap hari sepanjang Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 5:30 AM