Norasikin Daineh


MEJAR Mohd Zahir Armaya disahkan meninggal dunia selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu.

Difahamkan, mangsa adalah anak pelakon popular, A R Badul.

Mohd Zahir, 36, yang melakukan aksi berkenaan dipercayai terkena tembakan di bahagian kiri belakang badannya.

Demonstrasi itu adalah sebahagian daripada program pertunjukan yang disusun atur untuk dipersembahkan kepada seluruh warga tentera dan ahli keluarga Kem Lok Kawi.

Ketika kejadian, mangsa yang memakai topeng dan baju kalis peluru melakukan tembakan pertama ke arah rakannya sebelum menerima tembakan dari jarak dekat.

Bagaimanapun, ketika ditembak, mangsa dilihat terjatuh sebelum beberapa anggota tentera menariknya ke tepi untuk diberikan bantuan kecemasan.

Mangsa kemudiannya dilihat dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, mangsa yang bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka, dihantar ke Kem Lok Kawi sejak seminggu lalu untuk turut serta dalam upacara pelancaran berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim dalam kenyataan medianya berkata, mangsa disahkan meninggal dunia jam 9.20 pagi.

Katanya, seorang anggota tentera berusia 37 tahun sudah ditahan untuk tindakan lanjut berhubung insiden berkenaan.

“Kes diklasifikasi Seksyen 304A Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 12:13 PM
MOHD ZAHIR