Keadaan di Hospital Queen Elizabeth hari ini.
Keadaan di Hospital Queen Elizabeth hari ini.
Mohd Azam Shah Yaacob


ISTERI Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, pegawai komando 11 Rejimen Gerup Gerak Khas yang maut terkena tembakan ketika demonstrasi latihan di Kem Lok Kawi, Sabah tidak menyangka perbualan menerusi aplikasi Whatsapp pagi tadi menjadi perbualan terakhir antara mereka.

Malah Nourshafinar Harun berkata, dia sebak apabila mengenangkan dalam perbualan itu pada 8.15 pagi, suaminya sempat menghantar gambar swafoto dirinya sebelum mengadakan demonstrasi itu.

Katanya, arwah seorang yang positif dan seperti biasa berhubung dengannya sama ada sebelum atau selepas latihan dijalani tanpa menunjukkan sebarang tanda pelik.

“Tapi hari ini saya tak sangka ia kali terakhir saya berbalas mesej menerusi aplikasi Whatsapp dengan arwah.

“Saya sempat berbual dengannya sekejap sekitar 8 lebih dan arwah ada menghantar gambar swafoto dirinya yang sedang bersiap sedia untuk melakukan demonstrasi itu.

“Namun tak sampai sejam, saya terima panggilan memaklumkan arwah meninggal dunia terkena tembakan ketika melakukan demonstrasi berkenaan.

“Saya tak sangka itulah gambar swafoto terakhir diterima daripada arwah,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa arwah lebih seminggu lalu ketika menghantarnya ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan ke Sabah.

Allahyarham maut terkena tembakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu Sabah, hari ini.

Arwah yang bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka adalah anak kepada pelakon, AR Badul.

Arwah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth pada 9.28 pagi tadi.

Berita berkaitan

Polis siasat kes Mohd Zahir

Seorang anggota tentera disiasat

TDM siasat Insiden komando mati tertembak

'Mesti disiasat, sepatutnya tak bocor'

Badul reda pemergian Mohd Zahir

Anak A R Badul mati tertembak

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 4:22 PM