X
Muhammad Apendy Issahak


PENGEBUMIAN Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, 36, berlangsung dengan penuh istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Tambun di Ipoh, hari ini.

Hujan yang turun sejurus selepas ketibaan jenazah di kediaman ibu mentuanya di Taman Perpaduan, Ulu Kinta, pada 5.45 pagi tadi tidak mengganggu kelancaran istiadat pengebumian.

Turut hadir menyambut ketibaan jenazah adalah Panglima 2 Briged, Brigadier Jeneral Malek Razak Sulaiman dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Solat jenazah dilaksanakan sekali lagi di rumah keluarga isteri arwah selepas solat subuh sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan.

Terdahulu, jenazah Mejar Mohd Zahir dibawa dari Kem Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur, 2.23 pagi selepas selesai solat jenazah di Masjid Al Fatih diimamkan Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pengurusan (TKPP) Brigadier Jeneral Datuk Mustafa Abdul Manap.

Jenazah tiba di tanah perkuburan ketika hujan sudah berhenti pada 7.45 pagi dan sebagai penghormatan terakhir Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan istiadat mengiring dan mengusung jenazah oleh pegawai dan anggotanya.

Allahyarham Mohd Zahir turut diberikan tabik hormat oleh pegawai dan anggota ATM yang hadir sebelum jenazahnya diturunkan ke dalam liang lahad.

Bacaan talkin disempurnakan Pegawai Agama Markas 2 Briged, Leftenan Kolonel Titan Abdul Wahab.

Istiadat pengebumian yang berlangsung dalam suasana hiba itu dihadiri lebih 2,000 orang termasuk ahli keluarga, warga ATM dan penduduk setempat.

Selesai bacaan talkin bapa arwah yang juga pelakon AR Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie dan isteri arwah, Nour Shafinar Harun serta anak-anak menyiram air dan menabur bunga di pusara Allahyarham.

Nour Shafinar kemudian turut menerima Jalur Gemilang yang disampaikan Pegawai Memerintah Rejimen 11 Gerak Khas, Kolonel Zulkinine Mohd Yunus

Istiadat pengebumian selesai sepenuhnya pada 8.45 pagi.

Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, pegawai komando 11 Rejimen Gerup Gerak Khas (GGK) yang maut terkena tembakan ketika demonstrasi latihan di Kem Lok Kawi, Sabah.

Mejar Mohd Zahir Armaya terkena tembakan jarak dekat ketika melakukan aksi demonstrasi sempena Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu pada 8.40 pagi, semalam.

Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 9.20 pagi ketika rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Berita berkaitan

Botol 'darah' tak pecah

Suasana pilu iringi ketibaan jenazah Mejar Zahir

Arwah Mejar Zahir kelakar, mudah mesra

Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah

Badul sanjung arwah, nafi tak rapat

Mejar Zahir syahid akhirat

Ini 'show' yang terakhir - Mejar Zahir

'Arwah sempat swafoto sebelum demonstrasi itu'

Seorang anggota tentera disiasat

TDM siasat Insiden komando mati tertembak

'Mesti disiasat, sepatutnya tak bocor'

Badul reda pemergian Mohd Zahir

Anak A R Badul mati tertembak

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 8:58 AM