NUR Aafyah dilahirkan dengan ‘hemangioma’ yang kritikal. FOTO Nesmenny Jimahin
Redzuan Muharam


“MEMANG sedih melihatnya dalam keadaan sebegitu tetapi apa yang boleh saya dan suami lakukan, kini kami berusaha mendapatkan rawatan supaya dia kembali pulih,” kata Nesmenny Jimahin, 32.

Nesmenny adalah ibu kepada bayi berusia sebulan, Nur Aafyah Maizarah yang dilahirkan dengan ‘hemangioma’ iaitu tanda lahir dalam bentuk ketumbuhan pada bahagian pipi kiri.

Menurut Nesmenny yang menetap di Kampung Ulu, Putatan, Sabah, ketumbuhan itu semakin membesar hingga menyebabkan pendarahan kerap berlaku.

Namun, Nesmenny bersyukur kerana anaknya itu masih boleh minum susu seperti biasa sekalipun mulutnya senget kesan daripada ketumbuhan yang ada.

“Menurut doktor, ketumbuhan itu adalah tanda lahir tetapi ia berbeza dengan yang lain kerana membesar hingga merebak ke pembuluh darah.

“Keadaan itu membimbangkan saya dan suami (Asri Daud, 33) kerana pendarahan kerap berlaku dan sering kali juga kami berulang-alik ke hospital dari rumah untuk menambah darah, selain menjalani pemeriksaan susulan.

“Buat masa ini, anak saya ditahan di wad kanak-kanak Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Likas, Sabah dan ada kemungkinan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan tetapi bergantung kepada keputusan doktor,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.


Nesmenny bersama bayinya, Nur Aafyah. FOTO Nesmenny Jimahin

Ibu tiga anak itu berkata, dia sedia menerima risiko pembedahan kerana apa yang lebih penting baginya adalah untuk melihat Nur Aafyah sihat dan dapat membesar seperti bayi lain.

“Dalam keadaan sekarang, saya perlu mengikut nasihat doktor kerana mereka lebih pakar dan sekiranya pembedahan adalah jalan yang terbaik, kami terima keputusan itu asalkan Nur Aafyah sihat.

“Semua itu demi kebaikannya juga dan saya bersyukur kerana mempunyai keluarga serta rakan yang prihatin, malah segelintir sanggup menghulurkan bantuan selepas mengetahui kisah Nur Aafyah.

“Sokongan mereka memberi kekuatan untuk saya dan sentiasa berdoa supaya segala-galanya dipermudahkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 8:47 PM