AKSI di HRC Kuala Lumpur 6 Oktober ini permulaan untuk kumpulan rock lain kembali meriahkan industri.
Ridzuan Abdul Rahman


KALI terakhir Wings beraksi di Hard Rock Cafe (HRC) ialah pada 4 Oktober 2009 yang menyaksikan pusat hiburan terkenal di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur itu dibanjiri peminat.

Selepas 10 tahun, kumpulan rock legenda ini akan kembali beraksi di lokasi berkenaan pada 6 Oktober ini dan semestinya menjadi berita gembira buat peminat setia Wings.

Penyanyinya, Datuk Awie berkata, persembahan sempena Sunday Night Live ini adalah pembuka jalan buat kumpulan rock tanah air kembali memeriahkan industri muzik yang dilihat semakin suram.

“Kami akan membuka tirai Sunday Night Live dan selepas itu akan disusuli artis dan kumpulan lain.

“Ia bukan nak mengimbau nostalgia lama tapi sebuah persembahan yang serius kerana akan menjadi platform yang bagus untuk kumpulan lain yang sudah lama menyepi kembali aktif.

“Mereka sudah boleh berlatih semula untuk terbabit dalam program ini. Biar penyokong dan peminat kumpulan seperti Bumiputra Rockers, Sofea dan SYJ kembali memeriahkan industri muzik,” katanya.

Menurutnya, Hard Rock Cafe adalah lokasi yang paling sesuai untuk genre rock & roll dan kumpulan ini perlu memanfaatkan peluang yang ada.

“Bila-bila masa saja mereka boleh beraksi kerana semuanya sudah disediakan. Wings sendiri ambil peluang untuk memberikan persembahan yang akan menghiburkan peminat.

“Kami menyambut jemputan daripada Hard Rock Cafe, sebuah jenama antarabangsa. Kami juga perlu profil yang bagus daripada jenama ini. Ini antara faktor kami terima tawaran yang dibuat. Pada masa sama, ia menjadi latihan buat Wings kerana selepas ini kami ada konsert di Melaka dan Labuan,” katanya.

Awie berkata, Wings hanya kerap terbabit dalam persembahan makan malam dan sudah sampai masanya beraksi di khalayak ramai.

“Memang ketara sangat penurunan tajaan untuk konsert selepas kali terakhir Wings beraksi pada Konsert Laksamana Metal di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 4 Mei lalu.

“Saya sendiri rasa gagal bawa penonton yang ramai ketika itu kerana masa yang suntuk dan isu politik yang banyak mengganggu kehidupan kita seharian. Hard Rock Cafe adalah tempat yang sesuai untuk kami gerak langkah awal kembalikan semula kegemilangan industri muzik,” katanya.

Awie berharap peminat hadir memberikan sokongan untuk melihat persembahan terkini yang bakal disajikan mereka.

“Mereka kena lihat kami akan bawakan lagu berbentuk macam mana kerana tempat ini khusus untuk lagu rock. Peminat Wings perlu cepat mendapatkan tiket kerana lokasi ini hanya boleh memuatkan sekitar 750 orang. Kira okeylah daripada muat 300 orang, jumlah 700 peminat dikira memadai,” katanya.

Selain Awie, Wings kini dianggotai Black (dram), Eddie (bass), Edrie Hashim (gitar) dan pemain gitar asal mereka, Syam yang kembali bersama Wings.


AWIE ketika membuat persembahan.

WINGS TAK TRAUMA

Awie menolak tanggapan Wings trauma dengan kegagalan Konsert Laksamana Metal sehingga memilih untuk beraksi di lokasi yang agak sederhana.

“Perkataan ini tak pernah wujud dalam kamus hidup kami. Kami akan terus bawa diri kami kerana ini periuk nasi. Di mana kami nak gerak dan sesiapa yang nak jadi penaja kami ketika itu, kami ucapkan syukur.

“Wings akan buat apa yang dirasakan bagus dan terkini kepada peminat. Insya-Allah kami sedang dalam rangka menyusun konsep yang boleh menyemarakkan Melayu,” katanya.

Menurutnya, konsep yang dibawakan merangkumi lagu popular mereka seperti Inspirasi Tamingsari yang kekal diminati sehingga sekarang.

“Contohnya pemakaian tengkolok. Walaupun bukan pelopor, kami antara yang menyemarakkannya. Alhamdulillah, itu yang kami akan kekalkan dalam Wings untuk kukuhkan orang Melayu.

“Persembahan ini juga berbeza dengan konsert solo saya, Konsert Awie Romantika yang akan berlangsung Februari tahun depan,” katanya.


AWIE ketika membuat persembahan.

‘KAMI TAKKAN MAIN DI KELAB LAGI’

Mengulas lanjut persembahan di Hard Rock Cafe, Awie tidak mahu segelintir pihak tersalah anggap mereka akan kembali aktif beraksi di kelab seluruh negara.

“Jangan salah tafsir perkara ini. Wings sebenarnya bukan nak bermain di kelab kerana kalau nak, kami boleh saja beraksi di mana-mana kelab yang ada.

“Kena tengok kemampuan pihak kelab untuk bayar. Kami tak fokus pada kelab. Kami beraksi di Hard Rock Cafe kerana jenamanya.

“Kalau nak main di kelab, kami boleh saja cari mana-mana kelab yang ada. Tapi berapa yang mampu mereka bayar dan berapa harga tiket yang akan dikenakan?” katanya.

Sekali lagi Awie menegaskan Wings sebuah nama besar dan tidak berniat kembali beraksi di kelab.

“Persembahan di Hard Rock Cafe adalah sebagai ‘kick start’ kepada aktiviti program kami dan pembuka jalan kepada kumpulan lain.

“Kami sudah aktif main di kelab pada 1985 dan 1986 dan ia sudah memadai. Biar kami fokus agenda yang lebih besar,” katanya.

Peminat Wings yang ingin menonton boleh membeli tiket berharga RM100 untuk persembahan yang akan bermula pada jam 10.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 5:25 AM